TIGA beranak termasuk kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut selepas motosikal dinaiki mereka dipercayai dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Batu 17, Hulu Langat di Kajang hari ini.
Difahamkan, pemandu SUV jenis Perodua Aruz itu disyaki memandu di bawah pengaruh dadah.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian berlaku pada jam 7.56 pagi itu membabitkan mangsa lelaki berusia 34 tahun yang juga mekanik, isterinya berusia 32 tahun dan anak lelaki mereka berusia tiga tahun.
Beliau berkata, ketiga-tiga mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Siasatan awal mendapati tiga beranak itu dalam perjalanan dari rumah mereka di Batu 18, Hulu Langat menuju ke Nanding.
“Setibanya di lokasi kejadian, sebuah Perodua Aruz dipercayai memasuki laluan mangsa sebelum berlaku pertembungan.
“Akibat kemalangan itu, ketiga-tiga mangsa tercampak dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata, pemandu SUV berusia 42 tahun ditahan bagi membantu siasatan dan hasil semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan jenayah narkotik, manakala ujian saringan air kencingnya juga positif dadah methamphetamine.
“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Kajang pada jam 9 pagi esok bagi mendapatkan permohonan reman,” katanya.
Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan parah, yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun serta denda RM50,000 hingga RM100,000, jika sabit kesalahan.
Menurutnya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, Inspektor Mohd Raziman Rasid di talian 019-456 5502 bagi membantu siasatan.






