SEORANG lelaki melecur di bahagian lengan dalam kebakaran yang melibatkan sebuah restoran di sebuah hotel di Semporna tengah hari tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Zainal Sinsian berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.47 tengah hari mengenai kebakaran itu sebelum tiba di lokasi lima minit kemudian.
“Sebaik sahaja tiba di lokasi, pasukan mendapati sebuah restoran terbakar dan musnah sepenuhnya, manakala bangunan hotel turut 20 peratus terbakar akibat bahang api.
“Pasukan yang menjalankan operasi pemadaman melibatkan 29 anggota termasuk 10 anggota Bomba Air Semporna,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memberitahu, mangsa yang mengalami kecederaan melecur itu dibawa ke Hospital Semporna oleh pihak pengurusan hotel.
Zainal berkata, operasi pemadaman dilakukan dari dua arah iaitu melalui darat dan laut bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak.
Kebakaran dapat dikawal dalam tempoh kira-kira sejam sebelum operasi ditamatkan pada jam 4.11 petang dan punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan, katanya.





