DUA pegawai bomba menyelamatkan dua wanita apabila sebuah gerai makan di medan selera berhampiran Masjid Al Falah, Felda Sungai Tiang di Pendang, Kedah terbakar semalam.
Video kebakaran itu yang melibatkan bahagian dapur gerai makan berkenaan turut tular di media sosial semalam dan dipercayai berlaku sekitar jam 5.15 petang.
Ketika kejadian, dua pegawai bomba terbabit, Muhammad Athir Maula Esaha dan Mohammad Anas Elyas kebetulan berada di premis berkenaan untuk membeli makanan serta menyiapkan tugasan berkaitan pertandingan Kadet Bomba peringkat negeri Kedah.
Suasana bertukar cemas apabila mereka menyedari terdapat api marak dari salah sebuah gerai di lokasi tersebut.
Mohammad Anas menerusi kenyataan di media sosial memaklumkan, pada awalnya api yang marak disangka berpunca daripada aktiviti memasak. Namun, siasatan awal mendapati ia berpunca daripada hos gas yang tercabut ketika proses memasak, sekali gus menyebabkan kebakaran berlaku secara tiba-tiba.
Menurutnya, kejadian itu turut menghalang laluan keluar apabila api marak di bahagian hadapan pintu, manakala pintu kabin gerai didapati terkunci dan sukar dibuka, menyebabkan dua mangsa terperangkap dalam keadaan panik.
Dalam kejadian itu, kedua-dua pegawai bomba berkenaan segera bertindak melaksanakan operasi menyelamat dengan membantu membawa keluar mangsa ke kawasan selamat.
Operasi pemadaman kemudian dijalankan secara taktikal, apabila tindakan rescue dan confinement dilakukan oleh kedua-dua pegawai, sebelum api berjaya dipadamkan menggunakan alat pemadam api yang diperoleh di lokasi.
Kedua-dua mangsa dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan dan berada dalam keadaan selamat.
Mohammad Anas turut menasihatkan orang ramai agar memastikan pemasangan peralatan memasak berada dalam keadaan selamat serta menyediakan alat pemadam api di premis masing-masing bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.


