KRISIS adat dan Perlembagaan di Negeri Sembilan semakin kelam kabut apabila Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar dimahsyurkan sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan oleh Undang Yang Empat serta Tunku Besar Tampin dan Dato’ Syahbandar Sungei Ujong.
Dalam video yang tular Datuk Undang Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad dilihat mengumumkan pelantikan Tunku Nadzaruddin sambil disaksikan oleh Tokoh Budaya dan Adat Negeri Sembilan, Tan Sri Rais Yatim.
“Bahawasanya selaras dengan Perkara 11 Undang-undang Tubuh Negeri Sembilan 1959, kami Yang Teramat Mulia Undang Yang Empat dengan kuasa yang ada pada kami berkenaan memilih dan memasyhurkan Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan, Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12, berkuat kuasa serta-merta.
“Bersesuaian dengan pengisytiharan Undang Yang Empat yang dilakukan pada 19 April 2026. Sekian dimaklumkan,” katanya.

Selepas pengisytiharan itu yang dipercayai dijalankan di sebuah hotel di Melaka, Tunku Nadzaruddin memakai tajak sebagai simbol pelantikan beliau sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Ke-12 berkuat kuasa serta-merta.
Beliau kemudian membaca kenyataan mengucapkan terima kasih kepada Undang Yang Empat, Tuanku Besar Tampin dan Dato’ Syahbandar Sungei Ujong.
Sebelum itu, suasana tegang tercetus di Balai Kediaman Tuanku Besar Tampin apabila pembesar adat tidak dibenarkan memasuki balai tersebut bagi menghadiri Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU).
Mereka yang tiba di situ pada pukul 9.30 pagi mempertikaikan larangan tersebut yang dikatakan dibuat atas arahan pihak berkuasa.
Lanjutan itu, Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah mempersoalkan arahan tersebut yang disifatkan memalukan institusi adat.
“Saya minta kerjasama, tanggungjawab saya kalau jadi apa-apa rusuhan…tak puas hati..panggil saya ke balai….di luar bukan saya jaga keselamatan…saya minta kerjasama jangan malukan institusi adat. Buka sekarang, saya nak masuk,’ katanya.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman memaklumkan beliau hanya mengikut arahan.
Bagaimanapun suasana kembali tenang apabila, Tunku Besar Tampin Syed Razman Ibni Almarhum Tunku Syed Idrus Al-Qadri memberi arahan supaya pintu pagar dibuka bagi membolehkan kesemua pembesar terbabit masuk.
Polis kemudiannya akur dan membuka pintu pagar membenarkan kesemua mereka masuk, namun media dan orang ramai masih diminta menunggu di luar.


