KERAJAAN mengarahkan tindakan penguatkuasaan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang serta menyalahgunakan lesen, visa atau kemudahan perniagaan yang diberikan, termasuk melibatkan warga tempatan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, arahan itu diputuskan Perdana Menteri Datuk Seri anwar Ibrahim dalam Mesyuarat Jemaah Menteri susulan aduan berkaitan dakwaan pengambilalihan aktiviti perniagaan tempatan oleh warga asing.
“Perdana Menteri telah mengarahkan agar tindakan penguatkuasaan yang tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati telah melanggar peruntukan undang-undang serta menyalahgunakan lesen, visa atau kemudahan-kemudahan perniagaan yang diperuntukkan, termasuk untuk warga negara Malaysia,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, Jemaah Menteri turut dimaklumkan mengenai keputusan kerajaan untuk menguruskan pembangunan perkhidmatan digital kerajaan secara dalaman menerusi penyelarasan oleh Kementerian Digital, khususnya melalui Jabatan Digital Negara.
Katanya, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira aspek keselamatan dan kedaulatan data, akses langsung kepada kod sumber serta pembangunan bakat dalam kalangan penjawat awam.
“Perdana Menteri memutuskan bahawa aspek pembangunan perkhidmatan digital perlu diurus secara dalaman oleh pihak kerajaan yang akan diselaraskan oleh Kementerian Digital.
“Ia mengambil kira aspek perlindungan dan kedaulatan data, akses terus kepada kod sumber serta usaha memperkukuh pembangunan bakat, khususnya dalam kalangan penjawat awam,” katanya.


