PRESIDEN Warisan Datuk Seri Shafie Apdal hari ini dengan melafazkan ’ Wallahi, wabillahi, watallahi’’ bagi menafikan dakwaan beliau bertemu dengan pemimpin Barisan Nasional (BN) awal pagi ini selepas tiada parti mencapai majoriti mudah 37 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah untuk menubuhkan kerajaan.
Katanya, beliau tidak membuat pertemuan dengan mana-mana pemimpin termasuk BN bagi membincangkan pembentukan kerajaan selepas partinya menang di 25 kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah semalam.
“Tak ada. Tapi saya pun dah letih, tidur dari malam tadi kerana terlalu penat berkempen berhari-hari. Saya sudah bekerja lebih empat tahun menuju pilihan raya ini. Tak ada saya jumpa dengan mana-mana parti pun.
“Kami akan berjumpa di Dewan Undangan Negeri nanti. Mana ada jumpa. Wallahi, wabillahi, watallahi saya tidak jumpa mana-mana pemimpin,” katanya pada sidang akhbar di Kota Kinabalu hari ini.
Dalam PRN semalam, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperolehi 29 undi, BN (6) Bebas (5), UPKO (3), STAR Sabah (2), KDM (1), PN (1), PH (1).
Menjawab soalan adakah kemungkinan Warisan akan bekerjasama dengan parti tempatan termasuk GRS, Mohd Shafie berkata, fokus Warisan adalah kepentingan rakyat Sabah, bukan semata-mata membentuk gabungan politik.
Pada masa sama tegas beliau, definisi parti tempatan juga perlu difahami dan Warisan menjunjung aspirasi rakyat Sabah secara keseluruhan.
“Ia bukan suara perbezaan daripada dua parti, tetapi kehendak rakyat Sabah,’’ katanya.
Apa yang menarik perhatian, bekas Ketua Menteri Sabah itu mengingatkan bahawa politik Sabah tidak pernah stabil apabila gabungan dibentuk atas kepentingan sempit atau “mengisi kuota kuasa”.
“Dulu pun kerajaan GRS dengan BN tak lama. Pasal apa? Selalu ada dinamik dalam politik di negara ini dan di dunia. Kamu fikir ini akan bertahan selama lima tahun?” soalnya sambil mengingatkan bahawa ada pihak yang hanya mengejar kedudukan, projek dan wang, ‘’ tegasnya.
Beliau berkata, perjuangan sebenar Warisan adalah menyatukan rakyat dan memastikan suara Sabah didengari secara nasional, bukan sekadar berusaha berada dalam kerajaan.
“Kita satukan rakyat Sabah. Itu tujuan saya. Suara kita tidak seharusnya hanya didengari di Sabah, ia mesti bergema di seluruh negara,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut berterima kasih atas sokongan besar pengundi Cina yang menurutnya menunjukkan penolakan terhadap amalan politik wang serta mengangkat nilai integriti dalam kepimpinan.


