Op Crack: JIM buru lebih 1,300 pemegang PLKS haram

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) akan memperhebat operasi penguatkuasaan bagi mengesan lebih 1,300 warga asing yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dipercayai diperoleh secara haram melalui sindiket yang ditumpaskan dalam Op Crack.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, Bahagian Penguatkuasaan jabatan itu turut mengumpul maklumat risikan di lapangan bagi mengenal pasti dan mengesan kedudukan warga asing yang menggunakan pas berkenaan.

“Kami akan terus menjalankan operasi penguatkuasaan untuk mengesan pemegang PLKS yang diluluskan secara tidak teratur ini.

“Terdapat sekurang-kurangnya 1,300 PLKS yang dipercayai berada di tangan warga asing selepas dikeluarkan melalui sindiket berkenaan.

“Sama ada melalui risikan dikumpul atau operasi bersasar, kami akan menangkap mereka,” katanya, lapor NST.

Menurut Zakaria, jabatan itu turut mengalu-alukan maklumat daripada orang awam yang dapat membantu pegawai penguat kuasa mengesan warga asing yang memegang PLKS palsu, selain mengenal pasti dan menjejaki pihak yang mendapat keuntungan daripada aktiviti sindiket berkenaan.

“Yakinlah bahawa identiti mereka yang tampil memberikan maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya,” katanya.

Sebelum ini, pegawai imigresen yang cuba mengesan pemegang PLKS dikeluarkan secara haram berdepan jalan buntu selepas mendapati alamat didaftarkan juga adalah palsu.

Beberapa serbuan sudah dijalankan di alamat yang dikaitkan dengan PLKS, namun maklumat didaftarkan tidak sepadan dengan lokasi fizikal sebenar.

Zakaria memberitahu, walaupun sistem mereka mengandungi alamat tertentu, premis berkenaan berbeza daripada apa yang dinyatakan dalam PLKS, selain maklumat majikan juga berbeza.

Jabatan itu sebelum ini menyatakan akan membatalkan semua PLKS yang diluluskan secara tidak sah dan mengesan pemegangnya susulan sindiket yang disyaki menggodam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) bagi memanipulasi proses kelulusan pas.

Op Crack adalah operasi bersama Jabatan Imigresen dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengesan PLKS palsu.

Sebelum ini, 12 individu, termasuk enam kakitangan Jabatan Imigresen dan seorang pegawai polis ditahan SPRM kerana didakwa terbabit dalam sindiket itu.

Siasatan mendapati sebanyak 1,306 PLKS didakwa diluluskan melalui kuota pekerja asing yang tidak digunakan, menyebabkan kerugian bayaran levi dianggarkan RM2.4 juta.

Sembilan akaun bank yang mengandungi sekitar RM300,000 turut dilaporkan dibekukan sebagai sebahagian daripada siasatan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here