Tikam leher rakan wanita: Mahkamah arah ejen hartanah jalani penilaian psikiatri

SEORANG ejen hartanah didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini atas pertuduhan melakukan cubaan bunuh dengan menikam leher rakan wanitanya menggunakan pisau rambo pada 17 Mei lalu.

Muhammad Ilhami Badaruddin, 32, mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Nurul Husna Kasmani, 35, di kawasan letak kereta sebuah restoran di Titi Gajah di Kepala Batas, jam 9.19 pada 17 Mei lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 307 (1) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga maksimum 20 tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim serta Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fahmi Kamaluddin dan Vatchira Wong Rui Fern, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Hakim Hamran.

Mohd Hakim memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya mempunyai masalah mental dan pernah mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.

Berikutan itu, mahkamah memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia, Ulu Kinta di Perak mengikut Seksyen 342 Kanun Tata Cara Jenayah untuk penilaian psikiatri.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan diberikan kepada tertuduh dan menetapkan 2 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan proses serahan dokumen.

Media sebelum ini melaporkan, dalam kejadian jam 9.19 malam itu, seorang wanita berusia 35 tahun cedera di leher dipercayai ditikam rakan lelaki di dalam kereta di hadapan sebuah restoran.

Bagaimanapun suspek yang melarikan diri akhirnya berjaya ditahan polis selepas empat jam kejadian dan pisau rambo yang digunakan ditemui keesokan hari di kawasan sawah berhampiran lokasi kejadian.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah dalam sidang media sebelum ini berkata, kejadian itu dipercayai bermotifkan cemburu atau cinta tidak berbalas.

 

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img