Pengarah syarikat didakwa tipu ahli perniagaan RM1.5 juta

SEORANG pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini atas pertuduhan menipu seorang ahli perniagaan menerusi perjanjian pinjaman RM1.5 juta, tujuh tahun lalu.

Pon Chee Weng, 65, didakwa memperdayakan mangsa berusia 45 tahun supaya menandatangani perjanjian yang menyatakan tertuduh memberikan pinjaman berjumlah RM1.5 juta, sedangkan wang itu didakwa tidak pernah diserahkan.

Kesalahan itu didakwa berlaku di Jalan Kota Permai, Bukit Mertajam pada 11 Mei 2019, lapor BH.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfadli Hassan, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hasanuddin Mohd Yusoff dan Syairah Atiqah Mustaffa Bakri.

Terdahulu, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM20,000 serta memohon supaya pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh diwajibkan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam bela memohon supaya jaminan minimum dikenakan dengan memberi jaminan anak guamnya akan mematuhi segala syarat mahkamah.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM18,000 dengan seorang penjamin. Tertuduh turut diarahkan melapor diri di balai polis berhampiran setiap dua bulan sekali, manakala pasportnya tidak perlu diserahkan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula pada 17 Disember ini.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here