SEORANG lelaki warga emas berusia lingkungan 70-an maut selepas dilanggar sebuah kereta ketika melintas di Batu 10, Jalan Kapar, Klang, kira-kira jam 5.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, siasatan awal mendapati kenderaan itu sedang dalam perjalanan dari Jeram menghala ke Klang ketika kejadian berlaku.
Beliau berkata, mangsa yang merupakan lelaki warga India dipercayai melintas secara tiba-tiba sehingga pemandu kereta berkenaan tidak sempat mengelak.
“Pemandu kereta itu tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pemandu terbabit bagaimanapun tidak memberhentikan kenderaan selepas melanggar mangsa, sebaliknya meneruskan perjalanan.
Mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Klang Utara, Inspektor Ahmad Fadzli Abdullah, menerusi talian 017-5843860 bagi membantu siasatan dan mengesan kenderaan terbabit.





