BARISAN Nasional (BN) arah ahli dan penyokong mengundi Perikatan Nasional (PN) di 11 kerusi tidak ditandingi gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendirian itu selaras ketetapan dibuat Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang supaya penyokong dan ahli PN memilih BN, sebagaimana dilakukan pada PRN Johor.
“Kita juga tentu akan melakukan perkara sama. Kita harap bukan hanya jentera, tapi pengundi-pengundi di kedua belah pihak dapat menterjemahkan sokongan kepimpinan daripada dua parti gabungan ini,” katanya kepada pemberita selepas program Gema@KKDW 2026 peringkat Negeri Sembilan di Felda Palong 8 Jempol.
Dalam ucapan beliau, Ahmad Zahid menggambarkan PN sebagai ‘rakan baru’.
“BN hanya bertanding 25, 11 lagi ditandingi rakan baru kita (PN), kita ucapkan terima kasih pada rakan baru kita untuk merealisasikan resipi politik.
“Kita tidak mahu menzalimi sesiapa, tetapi tiba waktu perpaduan Melayu dan Islam ini dapat direalisasikan di negara ini. Kita bukan mahu menolak bangsa lain, kita bukan mahu menolak agama lain, kita bukan mahu menolak sesebuah parti atas nama perkauman,” katanya.
Ahmad Zahid mahu realiti politik digunakan sebagai peluang merangkul orang Islam dan bukan Islam dalam BN dan PN.
“Ini adalah satu realiti politik. Inilah peluang dianugerahkan Allah kepada kita orang Islam, orang Melayu, dan kita rangkul juga orang bukan Islam, BN dan juga PN. Sesungguhnya kita adalah sebuah keluarga bermasyarakat majmuk.”






