Kian Ming umum keluar DAP, janji bantu KJ dalam PRU16

BEKAS Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming mengumumkan keluar daripada DAP serta-merta dan tidak bercadang menyertai parti politik lain atau bertanding pada PRU16.

Tetapi, katanya, beliau tetap komited menunaikan janjinya pada awal tahun ini untuk membantu bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkempen pada PRU16, jika beliau dicalonkan.

Berikut surat Kian Ming kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang disiarkan dalam Facebook beliau:

Saya menulis untuk memaklumkan bahawa saya akan meletak jawatan sebagai ahli Parti Tindakan Demokratik (DAP) berkuat kuasa 31 Ogos 2026. Nombor keahlian saya ialah S04-1916-0142612.

Saya bersyukur kerana telah diberi peluang untuk menyumbang kepada parti dan negara melalui pelbagai cara sejak saya menyertai parti pada tahun 2012 – sebagai Ahli Parlimen Serdang (2013 hingga 2018) dan Ahli Parlimen Bangi (2018 hingga 2022), sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) (2018 hingga 2020), sebagai ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat yang dilantik (2019 hingga 2022) dan sebagai ahli jawatankuasa negeri DAP Selangor yang dipilih (2018 hingga 2024).

Saya ingin mengucapkan terima kasih khususnya kepada Saudara Tony Pua kerana jemputan beliau kepada saya untuk menyertai parti DAP dan panduan yang diberkan oleh beliau kepada saya tentang cara terbaik untuk berkhidmat kepada parti dan negara sepanjang 14 tahun yang lalu.

Saya juga berterima kasih kepada Saudara Lim Guan Eng kerana memberi saya peluang untuk dicalonkan untuk kerusi parlimen Serdang dan Bangi dan sebagai Timbalan Menteri semasa beliau menjadi Setiausaha Agung DAP.

Saya berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan ahli dan pemimpin DAP di Serdang dan Bangi semasa penggal saya sebagai Ahli Parlimen dari 2013 hingga 2022, berkhidmat untuk pengundi dan penduduk kawasan tersebut sebagai wakil rakyat mereka.

Saya tidak merancang untuk menyertai mana-mana parti politik lain dalam masa terdekat dan saya tidak berniat untuk bertanding sebagai calon dalam pilihan raya umum akan datang (PRU16).

Saya tetap komited untuk menunaikan janji yang telah saya buat pada 10 Januari 2026, untuk membantu Khairy Jamaluddin berkempen dalam PRU16, jika beliau diberi kerusi untuk bertanding.

Saya akan terus berkhidmat untuk kepentingan negara melalui cara lain termasuk dalam podcast saya (“Are We OK”), melalui pelbagai jawatan penasihat saya dan dengan bekerjasama dengan orang lain yang berfikiran sama dengan minat yang sama.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here