SEBANYAK 12 orang terbunuh manakala lebih 300 lagi cedera dalam serangan peluru berpandu yang menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid (KKIA) di ibu negara Arab Saudi, awal pagi Ahad.
Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam Arab Saudi (GACA) dalam kenyataan memaklumkan, mangsa yang maut terdiri daripada empat warga Arab Saudi, dua warga Bangladesh serta masing-masing seorang warga Palestin, Amerika Syarikat, Mesir, Jordan, Syria dan Sudan.
“Serangan itu turut menyebabkan 309 orang cedera, termasuk beberapa individu yang berada dalam keadaan kritikal,” menurut kenyataan itu.
Beberapa jam selepas serangan berkenaan, Lapangan Terbang Antarabangsa King Fahd di Dammam, hab pengangkutan udara utama di bahagian timur Arab Saudi, turut dilaporkan menjadi sasaran serangan.
Jurucakap Gabungan Menyokong Kerajaan Sah Yaman, Mejar Jeneral Turki Al-Maliki, mengesahkan kejadian itu menerusi hantaran di platform X.
Serangan tersebut merupakan kali pertama Lapangan Terbang Antarabangsa King Fahd, antara hab pengangkutan tersibuk di Arab Saudi, menjadi sasaran sejak perang Iran tercetus pada 28 Februari lalu.
Susulan serangan di Lapangan Terbang King Khalid pada Sabtu, GACA memaklumkan operasi penerbangan di lapangan terbang itu digantung sementara bagi membolehkan penilaian kerosakan dilakukan.
“Serangan ini berlaku ketika kemudahan penerbangan awam di Arab Saudi terus berdepan serangan terbuka,” menurut pihak berkuasa itu.
Menurut laman penjejakan penerbangan FlightAware, sekurang-kurangnya 291 penerbangan di lapangan terbang Riyadh dibatalkan dalam tempoh 24 jam lalu.
Sebelum serangan terbaharu itu, beberapa syarikat penerbangan termasuk Air India, FlyDubai, Lufthansa Group dan Pakistan International Airlines turut menggantung penerbangan ke dan dari Riyadh serta beberapa lapangan terbang lain di Arab Saudi untuk tempoh berbeza.
Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) sebelum ini memperluas panduan keselamatan ruang udara Arab Saudi susulan keupayaan kumpulan Houthi melancarkan serangan ke sasaran jauh di dalam wilayah kerajaan itu, termasuk Riyadh.
Agensi berkenaan turut memberi amaran mengenai peningkatan tumpuan serangan terhadap infrastruktur penerbangan.
Serangan peluru berpandu dan dron serta operasi pemintasan pertahanan udara meningkatkan risiko pesawat awam tersalah dikenal pasti, menurut agensi itu.
Sementara itu, Kementerian Luar Arab Saudi meminta individu yang terkandas di luar negara dan tidak dapat meneruskan perjalanan ke destinasi mereka di kerajaan itu supaya menghubungi misi diplomatik Arab Saudi di negara masing-masing bagi mendapatkan bantuan.
Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid turut menasihatkan penumpang supaya menghubungi syarikat penerbangan masing-masing sebelum berangkat ke lapangan terbang. Serangan terbaharu itu berlaku selepas tiga individu, termasuk seorang juruterbang Saudia, terbunuh dalam serangan terhadap lapangan terbang Riyadh pada Khamis.
Sehari sebelumnya, seorang lelaki warga Sudan maut dalam serangan lain di lapangan terbang sama, manakala dua wanita terbunuh apabila kumpulan Houthi menyerang Lapangan Terbang Antarabangsa Abha di wilayah Asir. Serangan berkenaan mencetuskan kecaman meluas masyarakat antarabangsa, dengan pelbagai pihak menggesa kumpulan Houthi yang disokong Iran menghentikan serangan terhadap infrastruktur awam.
Pada Jumaat, Gabungan Menyokong Kerajaan Sah Yaman mengumumkan pelancaran operasi berskala besar terhadap Houthi, dengan lebih 130 sasaran dilaporkan dimusnahkan.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Houthi meningkatkan serangan terhadap Arab Saudi dengan menyasarkan Riyadh, Abha, Khamis Mushait, Jazan dan Najran.
Bulan lalu, kumpulan itu dilaporkan cuba melancarkan serangan ke arah Makkah serta menyerang sebuah stesen pengagihan elektrik yang membekalkan tenaga kepada Masjid Nabawi di Madinah, menurut pihak gabungan berkenaan.
Sepanjang minggu ini, kumpulan itu turut meningkatkan serangan terhadap kemudahan penerbangan awam Arab Saudi sehingga mengorbankan beberapa nyawa. Dalam serangan pada Selasa di Lapangan Terbang Abha, seorang wanita warga Maghribi dan seorang wanita warga Algeria terbunuh. Lapangan terbang itu terletak tidak jauh dari sempadan Yaman.
Sehari kemudian, serangan di lapangan terbang Riyadh mengorbankan seorang lelaki warga Sudan, selain mencederakan puluhan orang, termasuk warga asing. Pada Khamis, Houthi melancarkan dua lagi serangan terhadap lapangan terbang Riyadh. Serangan pertama menyasarkan kemudahan lapangan terbang dan mengorbankan dua warga Arab Saudi, menurut GACA.
Serangan berikutnya mengenai sebuah pesawat Saudia yang berada di darat, mengorbankan juruterbangnya, Kapten Hamoud Ali Al-Kalthami.
Ketua Pegawai Eksekutif Saudia, Ibrahim Al-Omar, memberikan penghormatan kepada juruterbang itu dengan menyifatkan kerjayanya dipenuhi dedikasi dan keikhlasan.
Serangan berulang terhadap infrastruktur awam utama itu mencetuskan kemarahan antarabangsa serta desakan supaya tindakan tegas diambil bagi menghalang keganasan berterusan.
Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Jasem Mohamed Albudaiwi, menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan serius bagi membendung serangan Houthi.
Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, pula menyifatkan serangan terhadap infrastruktur awam sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima dan menggesa Houthi menghentikan tindakan ganas serta tidak bertanggungjawab.
Wakil Tetap Arab Saudi ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Abdulaziz Alwasil, ketika berucap di Majlis Keselamatan PBB pada Jumaat menegaskan Riyadh tidak akan membenarkan Yaman dijadikan pangkalan pelancaran serangan terhadap Arab Saudi atau ancaman terhadap laluan perkapalan di Laut Merah.





