Cukuplah…Janganlah tambah masalah di Negeri Sembilan

KETIKA ini pentadbiran Negeri Sembilan (NS) boleh dianggap paling unik berbanding negeri-negeri lain. Ia memandangkan negeri itu diuruskan oleh Menteri Besar Datuk Ismail Lasim tanpa Exco-Exco.

Kemelut proklamasi untuk menurunkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan masih belum ada  tanda-tanda akan berakhir. Selain sesi menghadap oleh Ismail pada 29 September lalu tidak membuahkan apa-apa hasil, 10 ADUN pula membawa kes pembatalan pelantikan mereka sebagai Exco Kerajaan Negeri oleh Tuanku Muhriz ke mahkamah.

Mereka memohon deklarasi mahkamah untuk mengisytiharkan bahawa warta pembatalan pelantikan mereka (Warta Kerajaan Negeri Sembilan pada  24 September 2026) adalah batal, tidak sah, dan tidak berkuat kuasa.

Mereka juga membangkitkan persoalan Perlembagaan iaitu sama ada pelantikan anggota Exco boleh dibatalkan secara bersendirian oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan melalui penarikan balik perkenan, tanpa adanya nasihat daripada Menteri Besar. Mereka berhujah bahawa mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, nasihat Menteri Besar adalah diperlukan.

Semua situasi itu menunjukkan bahawa Negeri Sembilan adalah negeri dalam masalah. Nampak tenang tetapi bergolak, nampak aman tetapi ‘kacau-bilau’. Oleh itu tidak boleh ada apa-apa  isu yang akan memburukkan lagi keadaan, apatah lagi kalau melibatkan politik.

Atas sebab itulah apabila Pengerusi Perhubungan Negeri Sembilan Datuk  Jalaluddin Alias menafikan dakwaan beliau akan mengemukakan usul undi tidak percaya Ismail pada sidang DUN akan datang ia agak melegakan.

“Sama sekali tidak betul. Tiada sebarang aturan mahupun perbincangan untuk buat usul undi tidak percaya terhadap menteri besar,” katanya menambah, beliau tidak mempunyai sebab untuk berbuat demikian.

Jalaluddin menegaskan, pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan ketika ini berjalan lancar tanpa sebarang krisis kepimpinan.

“Setakat ini, kita tidak ada masalah kepimpinan di Negeri Sembilan dengan Menteri Besar. Biar (Ismail) buat kerja beliau sebagai Menteri Besar, dan saya sebagai ketua parti akan buat kerja sebagai ketua parti. Kita banyak lagi perancangan dan agenda untuk kepentingan negeri serta masyarakat yang perlu kita selesaikan,” katanya.

Apa yang dinyatakan oleh Jalaluddin itu amat baik kerana bagi penulis, jika mana-mana pihak di dalam BN atau UMNO mahu melakukan sebarang gerakan politik untuk menjatuhkan Ismail, ia boleh dianggap ‘kejahilan politik tahap tertinggi’.

Kecualilah mereka yang mahu melakukan tindakan itu mempunyai alasan kukuh contohnya hanya dengan  menurunkan Ismail sebagai Menteri Besar sahaja segala masalah khususnya dengan istana boleh  diselesaikan…kalau maca itu..silakan buat undi tidak percaya di DUN.

Satu lagi yang boleh dibenarkan ialah Ismail secara  sukarela meletak jawatan sebagai Menteri Besar tetapi kalau sekadar mahu menurunkan Ismail atau meminta beliau berundur tetapi kemelut tidak juga selesai, lebih baik jangan tambah masalah.

Ingat rakyat Negeri Sembilan memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) yang menjalin persefahaman dengan Perikatan Nasional (PN) dengan harapan mereka akan mendapat pentadbiran kerajaan negeri yang lebih baik berbanding ketika negeri itu diperintah oleh Pakatan Harapan.

Malah BN juga perlu ingat, rakyat mengembalikan mandat kepada BN selepas lapan tahun setelah mandat itu ‘dicabut’ pada 2018. Itupun BN dapat  memerintah kembali disebabkan sokongan PN kerana BN gagal mencapai majoriti mudah iaitu 19 kerusi selepas menang 18 daripada 32 kerusi.

 Justeru selain harapan tinggi rakyat kepada parti itu, BN sendiri patut bersyukur dengan nasib baik yang menyebelahi mereka.Tetapi apa yang berlaku sekarang ialah ‘kacau bilau’ apabila 1 Ogos BN menang PRN, 7 Ogos Exco angkat sumpah jawatan, 22 September Exco Kerajaan Negeri menggantung tugas  Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Negeri Sembilan dan Penasihat Undang-Undang Negeri, 24 September Tuanku Muhriz batalkan pelantikan Exco!

Semua jadi ‘haru-biru’ pihak terlibat mempertahankan keputusan dan tindakan masing-masing dengan membentangkan hujah mengikut kefahaman mereka. Bukan sahaja rakyat Negeri Sembilan, rakyat di negeri lain pun ‘pening’ dengan apa yang berlaku di negeri yang kaya dengan adat itu.

Jadi janganlah mahu tambah lagi keadaan ‘haru-biru’ itu dengan  undi tidak percaya kepada Ismail. Selesaikan dahulu segala kemelut. Sudah pastilah untuk menyelesaikannya ia bukan hanya tanggungjawab BN tetapi juga semua pihak terlibat. Letakkan kepentingan rakyat dan negeri mengatasi segala-galanya.

Selain berharap ‘kejahilan politik tahap tinggi’ tidak dilakukan, penulis juga berharap kemelut berkaitan proklamasi turut diletakkan noktahnya. Negeri Sembilan tidak boleh dibiarkan berada dalam situasi sekarang.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here