TVET : Semua sekolah perlukan pendekatan  baru, bersedia dan konsisten

SAYA menyambut baik hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melaksanakan TVET dalam Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) di sekolah terutama sekolah rendah.

Namun begitu, berdasarkan jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen baru-baru ini, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fahdlina Sidek menjelaskan KPM sedang meneliti kesediaan kementerian itu untuk melaksanakannya di sekolah rendah.

Kenyataan tersebut pastinya menimbulkan tanda tanya berhubung keupayaan dan kesediaan KPM melaksanakan TVET di sekolah harian, khususnya sekolah rendah jika mahu dilaksanakan pada tahun hadapan…bersediakah KPM?

Suatu masa dahulu, mata pelajaran TVET yang dikenali Kemahiran Hidup (KH) pernah diajar di sekolah rendah dan menengah. Namun pada tahun 2015, KH telah dihentikan dan digantikan dengan subjek baru yang dikenali Reka Bentuk Teknologi (RBT).

Saya mempunyai pengalaman mengajar KH di sekolah harian lebih 30 tahun lalu. Pengalaman tersebut membolehkan saya berkongsi pandangan tentang pelaksanaan TVET yang sepatutnya dilaksanakan di sekolah.

Sewajarnya KPM sudah mempunyai pelan pelaksanaan yang baik kerana pengalaman mengendalikan KH membolehkan TVET di sekolah dilaksanakan dengan lebih cepat, cekap, jimat dan berkesan.

Jika ditanya kepada bekas guru seperti saya dan guru-guru yang masih bertugas ketika ini, pastinya majoriti guru-guru dan ibu bapa juga berpendapat bahawa KH jauh lebih baik berbanding matapelajaran RBT.

Sesuai dengan keperluan zaman, TVET sewajarnya sudah dilaksanakan segera selepas kerajaan MADANI memerintah supaya menepati cabaran tenaga kerja mahir negara untuk tempoh jangka panjang.

Walaupun sesetengah pihak menzahirkan kebimbangan TVET akan menambahkan beban pembelajaran di sekolah, saya percaya kewujudan semula TVET di sekolah akan memberi impak lebih baik untuk menarik minat pelajar mengasah bakat TVET berdasarkan kecenderungan masing-masing.

Saya masih ingat ketika mengajar KH dahulu, apabila tiba jadual waktu KH, ada pelajar yang berlari dari kelas ke bengkel KH dan tidak sabar beratur untuk menunggu giliran memasuki bengkel kerana KH adalah antara subjek yang menjadi minat utama sebahagian besar pelajar.

Antara negara maju yang sudah lama mengajar TVET sejak di bangku sekolah rendah adalah Jerman, Finland, Jepun dan Korea Selatan. Difahamkan negara China juga sudah memberi pendedahan  lebih agresif sejak kebelakangan ini.

Jika TVET mahu dilaksanakan dengan berkesan di Malaysia, pelaksanaan di peringkat sekolah rendah adalah penting dengan memberi tumpuan kepada kemudahan berbentuk makmal atau bengkel, peralatan asas yang mencukupi, tenaga pengajar khusus dan kegiatan kemahiran yang berasaskan persekitaran tempatan. Tanpa semua faktor ini, TVET akan gagal.

Jika sekolah rendah tersebut berada di Kelantan, memadai seni kraf seperti wau dan ukiran sebagai kemahiran fokus. Manakala di Perak, cukup jika industri tembikar dijadikan tumpuan. Tujuannya adalah sekadar memberi pendedahan awal dan menarik minat mereka untuk belajar di sekolah, selain memupuk ilmu dan pengalaman dalam bidang kemahiran. Itulah kaedah negara maju.

Apabila dikembangkan di peringkat sekolah menengah, elemen teknologi dan kemahiran lain seperti elektrik, kenderaan dan lain-lain boleh dikembangkan secara berterusan (kesinambungan daripada sekolah rendah).

Satu pendekatan pendidikan TVET baru juga boleh diperkenalkan ketika di tingkatan empat dan lima melalui kerjasama pusat latihan kemahiran swasta (PLKS).

Jika pelajar mahu memilih TVET di ILKS, kerajaan boleh menggalakkan mereka belajar sepenuhnya di ILKS dengan mengikuti pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan mengambil mata pelajaran IMPAK (Bahasa Melayu, Sejarah, Matematik Asas dan Agama/moral) seperti mana program Pendidikan Vokasional Menengah Atas yang dijalankan di sekolah harian. Mereka tetap dianggap berada dalam pendidikan arus perdana, cuma menyambung pendidikan di ILKS.

Usaha ini sedikit sebanyak mengurangkan beban kerajaan dan memberikan akses TVET yang lebih baik kepada pelajar.

Konsep ini pernah kami jalankan di ILKS suatu masa dahulu dan hampir menjadi perintis Sekolah Vokasional Swasta yang diluluskan KPM tetapi pertukaran kerajaan pada tahun 2018, membantutkan usaha tersebut.

Walaupun agak terlambat, usaha menghidupkan semula TVET di sekolah rendah adalah tindakan tepat. Tetapi kita janganlah sembrono dalam melaksanakannya. Pendidikan Malaysia tidak boleh dilaksanakan secara separuh masak, ala kadar dan hangat-hangat tahi ayam. KPM terutama menterinya, buanglah ego untuk mendengar pandangan dan pengalaman kami.

Kumpulan berpengalaman pernah mengemukakan pelan perancangan strategik TVET kepada kerajaan pada tahun 2018 terdiri daripada bekas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Majlis Profesor Negara dan Gabungan ILKS Bumiputera melalui Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

Seperti biasa, mereka teruja tetapi banyak alasan yang diberikan untuk melaksanakannya.

*Penulis adalah usahawan dan aktivis sosioekonomi.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here