Paitan jadi perintis 19 siri kempen Internet selamat di Sabah

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui Pejabat Wilayah Sabah telah menganjurkan Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat 2026 bersempena Sambutan Hari Kaamatan Daerah Paitan di Dewan Datuk James Ratib, Pekan Botition, di Paitan.

Karnival tersebut disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut, Datuk James Ratib.

DATUK James Ratib (bertopi) berinteraksi dengan peserta Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat 2026 anjuran MCMC di Pekan Botition, Paitan, Sabah. GAMBAR: MCMC

MCMC dalam satu kenyataan berkata, pelaksanaan Kempen Internet Selamat 2026 memberi fokus kepada komuniti termasuk di kawasan luar bandar bagi memastikan tiada masyarakat tercicir daripada menerima pendedahan berkaitan keselamatan Internet, risiko siber serta penggunaan media sosial secara bertanggungjawab.

Karnival Komuniti di Paitan merupakan penganjuran pertama peringkat komuniti di Sabah dengan 19 lagi siri karnival akan dilaksanakan di seluruh negeri menerusi pendekatan turun padang dan penglibatan langsung bersama masyarakat.

Menurut MCMC, sejak tahun 2023 hingga Mei 2026, sebanyak 5,455 aduan direkodkan di Sabah dengan kes penipuan dalam talian mencatat jumlah tertinggi iaitu 1,500 kes, manakala kes buli siber dan pornografi kanak-kanak turut membimbangkan.

Kata suruhanjaya itu, di Sandakan sahaja, sebanyak 998 aduan diterima dengan 384 kes melibatkan penipuan dalam talian.

“Dalam memastikan keselamatan pengguna Internet terus diperkukuh, khususnya melibatkan kanak-kanak dan remaja, kerajaan turut mengambil langkah lebih tegas termasuk menetapkan bahawa pengguna di bawah umur 16 tahun tidak dibenarkan memiliki akaun media sosial secara bebas mulai pertengahan tahun ini.

“Pada masa sama, penyedia perkhidmatan juga dikehendaki menyediakan fungsi kawalan ibu bapa (parental control) bagi membantu mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat dan bertanggungjawab.

Inisiatif ini turut diselaras dengan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 atau Online Safety Act (ONSA) yang berkuat kuasa mulai 1 Januari lalu bagi memperkukuh keselamatan pengguna di alam siber, khususnya melibatkan perlindungan kanak-kanak dan keluarga.

Program ini turut disertai oleh pelbagai agensi dan rakan strategik MCMC termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).

Karnival tersebut berjaya menarik lebih 1,000 pengunjung sepanjang program berlangsung sekali gus mencerminkan komitmen MCMC dalam memperluas mesej keselamatan Internet melalui pendekatan yang dekat dengan komuniti dan budaya masyarakat Sabah.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img