Penambahbaikan subsidi diesel diumum dalam tempoh kurang sebulan – Armizan

KERAJAAN Persekutuan dijangka mengumumkan penambahbaikan mekanisme subsidi diesel dalam tempoh kurang sebulan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kementeriannya optimis pengumuman itu mampu dilakukan lebih awal berbanding anggaran tempoh antara satu hingga dua bulan sebelum ini.

Tanpa niat mendahului Kementerian Kewangan (MoF), Armizan berkata, hal ini kerana dalam tempoh itu sesi libat urus dengan pihak terlibat telah dilaksanakan dan segala maklum balas sudah diberikan kepada MoF.

“Maklum balas serta input daripada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak serta KPDN telah disampaikan sepenuhnya kepada Kementerian Kewangan selaku agensi Kerajaan Persekutuan yang bertanggungjawab.

“Terdapat beberapa penambahbaikan telah dikenal pasti bagi memastikan pelaksanaan subsidi berkenaan sentiasa memelihara kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Sentuhan Kasih, Jualan Rahmah MADANI dan Kempen Internet Selamat di Papar, hari ini, lapor Bernama.

Pada 16 Ogos lalu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata, beberapa penambahbaikan pelaksanaan sistem subsidi diesel bersasar sedang diteliti, dan akan diumumkan kerajaan dalam tempoh satu hingga dua bulan lagi.

Menurutnya, langkah penambahbaikan itu merangkumi penyederhanaan proses permohonan, kelonggaran kriteria kelayakan bagi isu kenderaan sambung bayar dan pemindahan kuota kepada ahli keluarga terdekat.

Sementara itu, Armizan berkata, KPDN telah membuka kertas siasatan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan terhadap dua syarikat pengusaha feri, yang menaikkan harga tambang feri di Kudat melibatkan perjalanan dari Kudat ke Pulau Banggi.

Katanya, notis mendapatkan maklumat yang dikeluarkan kepada syarikat itu pada penghujung Mac lalu tidak mendapat maklum balas, sekali gus mendorong arahan kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk menyiasat kewujudan elemen pakatan harga.

“Saya mengarahkan MyCC untuk memulakan tindakan penyiasatan kerana terdapat aduan bahawa berlaku elemen pakatan kerana kedua-dua syarikat telah membuat pengumuman kenaikan harga bersama. Sebarang unsur pakatan harga adalah menyalahi Akta Persaingan,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas dakwaan syarikat pengusaha feri yang tidak menerima subsidi diesel, beliau menjelaskan bahawa feri penumpang awam layak mendapat subsidi menggunakan ‘skid tank’ menerusi permohonan kepada Jabatan Laut Malaysia.

“Bagaimanapun, hasil semakan kami mendapati kedua-dua syarikat feri berkenaan masih belum mengemukakan sebarang permohonan rasmi walaupun telah dinasihatkan berbuat demikian oleh pihak berkuasa,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Armizan mencadangkan kerajaan negeri Sabah mengkaji pengambilalihan kawal selia dan pelesenan feri penumpang di bawah Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah bagi membuka ruang persaingan pasaran.

Beliau berkata, perkara itu akan dibawa kepada perhatian Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Dr Ewon Benedick yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here