13,450 program Internet Selamat libatkan 2.19 juta peserta

SEBANYAK 13,450 program Kempen Internet Selamat dilaksanakan di seluruh negara sehingga 31 Julai lalu, dengan penyertaan lebih 2.19 juta peserta dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan digital, khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan golongan rentan.

Program yang dilaksanakan Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu melibatkan murid, guru, ibu bapa serta komuniti daripada pelbagai latar belakang sejak kempen berkenaan diperkenalkan pada Januari 2025.

TEO Nie Ching berucap merasmikan Konvensyen PIBG Internet Selamat 2026 Peringkat Negeri Johor Yayasan GoStrong Malaysia dengan kerjasama MCMC di Dewan Serbaguna Sri Tebrau di Johor Bahru hari ini. GAMBAR: MCMC

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, usaha melindungi kanak-kanak daripada risiko di ruang digital memerlukan kerjasama ibu bapa, sekolah, kerajaan dan komuniti secara berterusan.

Beliau berkata, antara ancaman yang perlu diberi perhatian termasuk buli siber, penipuan dalam talian, penyalahgunaan maklumat peribadi dan pendedahan kepada kandungan tidak sesuai.

GAMBAR: MCMC

“Dalam era digital yang semakin berkembang, peranan ibu bapa, sekolah dan komuniti amat penting dalam membentuk generasi muda yang bijak, selamat, beretika dan bertanggungjawab dalam menggunakan Internet,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen PIBG Internet Selamat 2026 Peringkat Negeri Johor yang dianjurkan Yayasan GoStrong Malaysia dengan kerjasama MCMC di Dewan Serbaguna Sri Tebrau di Johor Bahru hari ini.

TEO Nie Ching melawat reruai pameran selepas merasmikan Konvensyen PIBG Internet Selamat 2026 Peringkat Negeri Johor Yayasan GoStrong Malaysia dengan kerjasama MCMC di Dewan Serbaguna Sri Tebrau di Johor Bahru hari ini. GAMBAR: MCMC

Konvensyen berkenaan menghimpunkan wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa, guru, penjaga, agensi kerajaan serta komuniti bagi memperkukuh kesedaran dan tindakan bersama dalam melindungi kanak-kanak daripada pelbagai risiko dalam talian.

Program itu turut menampilkan dua sesi perkongsian berkaitan Kempen Internet Selamat serta dua forum bertemakan ‘Hentikan Buli Siber’ dan ‘Penipuan Dalam Talian’.

Sesi berkenaan membincangkan ancaman digital semasa, langkah pencegahan serta saluran bantuan yang tersedia bagi memastikan pengguna, khususnya kanak-kanak dan golongan rentan, lebih bersedia menghadapi risiko di ruang digital.

MCMC dalam kenyataannya turut menekankan kepentingan literasi digital serta amalan penggunaan Internet yang selamat, beretika dan bertanggungjawab bagi mewujudkan persekitaran digital lebih selamat untuk kanak-kanak dan remaja.

Konvensyen PIBG Internet Selamat 2026 Peringkat Johor merupakan siri keempat penganjuran program berkenaan dan akan diteruskan ke Sabah serta Sarawak.

Inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan Yayasan GoStrong Malaysia dan MCMC dalam memperluas pendidikan keselamatan digital serta memperkukuh perlindungan kanak-kanak melalui kerjasama strategik antara keluarga, sekolah, komuniti dan pihak berkepentingan.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng; Pengarah Kanan Wilayah Selatan MCMC, Ts Rizal Abd Malek; Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia, Khairul Anwar Sharin dan Pengarah Yayasan GoStrong Malaysia, Mohd Faizal Othman.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here