
PAKATAN Harapan (PH) menumpukan strategi kempen mikro berasaskan lokaliti bagi menyampaikan mesej dan tawaran parti secara terus kepada pengundi pada peringkat akar umbi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Pengarah Pilihan Raya PH Datuk Seri Amirudin Shari berkata pendekatan berbentuk pertemuan kelompok kecil itu lebih berkesan kerana memfokuskan kepada penyelesaian isu tempatan serta memenuhi keperluan khusus setiap komuniti tanpa menyentuh isu peribadi.
Bagaimanapun, beliau berkata kempen secara besar-besaran atau ceramah mega tetap memainkan peranan penting sebagai penutup kepada siri kempen sebagai medan memperlihatkan kekuatan dan kesatuan jentera parti selain menarik perhatian pengundi atas pagar.

”Di Negeri Sembilan, PH peneraju kepada kerajaan dan aspek kestabilan yang ditunjukkan akan menjadi tawaran penting.
“PH mempunyai sejarah cemerlang termasuk meningkatkan simpanan negeri dan merancakkan kegiatan ekonomi dengan nilai pertumbuhan antara 25 hingga 28 peratus. Ini menjadi daya pengukuh kepada pembuat keputusan supaya memilih secara majoriti pakatan ini,” katanya lapor Bernama.
Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata keberkesanan kempen mikro turut disokong oleh kekuatan jaringan jentera PH di Negeri Sembilan yang bertapak kukuh sejak gabungan itu diberi mandat pentadbiran pada 2018.
Mengenai penambahbaikan strategi berbanding PRN Johor sebelum ini, beliau berkata PH memberikan penekanan kepada keselarasan mesej dan pengukuhan kerjasama jentera antara parti komponen bagi memastikan pergerakan kempen yang lebih tersusun.
Selain strategi kempen, Amirudin optimis rekod prestasi pentadbiran PH di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun dari 2018 hingga kini akan menjadi pengukur utama pengundi dalam memilih kestabilan politik di negeri itu.
Berhubung kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada PRN itu, Amirudin berkata strategi tersebut realiti baharu dalam landskap politik negara yang menyaksikan pelbagai parti terus mencari formula gabungan terbaik sejak Pilihan Raya Umum 2018.
Beliau berkata pengalaman sebelum ini menunjukkan setiap gabungan politik mempunyai cabaran tersendiri, khususnya dalam memastikan kesepakatan, pembahagian kerusi dan hala tuju yang selari apabila berhadapan pilihan raya.
Amirudin berkata keupayaan sesebuah gabungan tidak seharusnya dinilai berdasarkan keputusan satu pilihan raya semata-mata, sebaliknya bergantung kepada kemampuan mengekalkan kesepakatan dan mengurus cabaran jangka panjang.
PRN Negeri Sembilan pada 2023 menyaksikan PH memenangi 17 kerusi sementara BN (14) dan PN (lima).
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 1 Ogos sebagai tarikh pengundian PRN Negeri Sembilan ke-16 manakala undi awal pada 28 Julai.






