Lebih 22,000 PATI di depot tahanan, Myanmar paling ramai ditahan

SERAMAI 22,166 pendatang tanpa izin (PATI) ditempatkan di 20 depot tahanan imigresen di seluruh negara setakat 30 Jun.

Dalam jawapan bertulis  di Dewan Rakyat Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jumlah itu termasuk dua depot imigresen sementara, yang kebanyakannya menempatkan tahanan lelaki dengan 17,872 orang (81%), manakala selebihnya 4,294 wanita (19%).

Jumlah itu meningkat dengan ketara berbanding setahun lalu apabila seramai 17,896 PATI ditahan setakat 6 Julai 2025.

Saifuddin berkata, warga Myanmar paling ramai ditahan iaitu 11,194 orang, diikuti warga Filipina (5,200), Indonesia (3,247), Bangladesh (1,133), Thailand (277), India (250) dan Pakistan (193).

Turut ditahan ialah 174 warga China, 85 warga Vietnam, 76 warga Nepal, 49 warga Kemboja dan 288 warga dari beberapa negara lain.

Saifuddin berkata, seramai 11,884 tahanan telah berada di depot selama tiga bulan atau kurang, 5,035 antara satu hingga lima tahun, 2,891 selama empat hingga enam bulan, 1,492 selama tujuh hingga sembilan bulan, dan 855 selama 10 hingga 11 bulan.

Beliau berkata, lapan tahanan telah ditempatkan di depot antara enam hingga 10 tahun, manakala seorang lagi ditahan sekurang-kurangnya selama 11 tahun.

Beliau turut memaklumkan seramai 356 kanak-kanak PATI bersama penjaga wanita ditempatkan di tujuh pusat jagaan Baitul Mahabbah di seluruh negara.

Saifuddin menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) yang meminta pecahan tahanan di depot imigresen mengikut umur, jantina, kewarganegaraan dan tempoh penahanan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img