“Adik-adik pegang abang ni, jangan bagi lepas’ – Tekong bot cari bantuan

“ADIK-adik pegang abang (mayat Ahmad Nasaruddin) ni, jangan bagi lepas. Saya nak berenang pergi minta bantuan bot lain.”

Itu antara kata-kata tekong bot, Mohd Awais Saari, kepada penumpangnya sebaik bot candat yang dikemudinya karam sebelum tenggelam di perairan berhampiran Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.40 malam itu, bot yang membawa 10 pelanggan, seorang pembantu dan tekong karam ketika berada kira-kira lima batu nautika dari Kuala Terengganu.

Mohd Awais yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun mengendalikan bot candat berkata, dia kemudian berenang meredah gelap malam dan ombak sejauh kira-kira satu batu nautika bagi mendapatkan bantuan daripada bot lain.

Katanya, walaupun tragedi itu meragut nyawa pembantunya yang juga sepupu, Ahmad Nasaruddin Mohd Jalil, 37, dia bersyukur mayat mangsa berjaya diselamatkan daripada dihanyutkan arus.

“Saya kagum dengan semua pelanggan yang pertama kali turun ke laut kerana mereka tidak panik walaupun bot tenggelam.

“Walaupun ketika itu masing-masing terapung di permukaan air, mereka masih mendengar arahan saya supaya memegang mayat sepupu saya agar tidak dihanyutkan arus,” katanya ketika ditemui di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Seberang Takir, malam tadi.

Menurutnya, sebelum bot tenggelam, dia menyedari air mula memasuki bahagian enjin sebelum paras air meningkat dengan cepat.

“Saya sempat menyuruh sepupu menaikkan tali sauh kerana saya mahu menggerakkan bot ke arah bot lain untuk meminta bantuan, namun tidak sempat.

“Kira-kira 15 minit kemudian bot terus tenggelam. Kami sempat berpaut pada bot sebelum ia tenggelam sepenuhnya. Mujur semua penumpang memakai jaket keselamatan, jadi mereka terus terapung di permukaan air,” katanya.

Mohd Awais berkata, Ahmad Nasaruddin yang tidak pandai berenang pada mulanya berpaut di belakangnya.

“Saya suruh dia naik ke belakang saya dan memeluk leher saya, tetapi dipercayai dia tertelan air laut sebelum meninggal dunia,” katanya.

Bot terbabit membawa 10 pelanggan berusia lingkungan 20-an dari Kuala Lumpur yang bertolak dari Jeti Kampung Batin, Seberang Takir pada jam 5.30 petang untuk aktiviti mencandat sotong.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, selain seorang mangsa yang maut, tiga lagi menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

“Dua mangsa menerima rawatan sebagai pesakit luar dan telah dibenarkan pulang, manakala seorang lagi masih menerima rawatan lanjut,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img