PEMILIK dan penyelia sebuah premis di Jalan Keluli, kawasan perindustrian Pasir Gudang ditahan bagi membantu siasatan susulan kejadian pelepasan asap berwarna oren yang mencetuskan kebimbangan penduduk, pagi semalam.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Dr Mohd Famey Yusoff berkata, tindakan tegas itu diambil selepas siasatan awal mendapati berlaku pelanggaran serius undang-undang alam sekitar termasuk kegagalan mematuhi prosedur pengurusan buangan terjadual dan syarat lesen premis.
Beliau berkata, pemilik premis berusia 34 tahun dan penyelia berusia 41 tahun ditahan pada jam 8 malam tadi menerusi Pasukan Tangkapan JAS Negeri Johor dengan bantuan JAS Cawangan Pasir Gudang.
“Hasil siasatan awal unit penguatkuasaan mendapati premis terbabit gagal mematuhi prosedur pengurusan buangan terjadual dan gagal mematuhi syarat lesen yang dikeluarkan di bawah Seksyen 16, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Pemantauan Kualiti Udara Pemantauan kualiti udara dijalankan di kawasan sensitif berhampiran termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Pasir Putih dan SMK Pasir Gudang 3 dengan menggunakan alat Portable Multigas Analyser (CEREX), namun tiada parameter gas berbahaya dikesan di kawasan sekitar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Famey turut menghargai kerjasama pelbagai agensi termasuk Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Balai Bomba Pasir Gudang dan Pasukan HAZMAT Johor) serta Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dalam mengawal situasi.
Beliau menyeru orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau email ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.






