PM gesa lebih banyak syarikat manfaat 5G, perkukuh ekonomi digital negara

DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata, lebih banyak syarikat perlu memanfaatkan teknologi 5G bagi meningkatkan produktiviti, inovasi dan daya saing dalam usaha memperkukuh ekonomi digital negara.

Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebook berkata, perkara itu turut dibincangkan sewaktu menerima kunjungan hormat delegasi Ericsson yang diketuai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Börje Ekholm hari ini.

GAMBAR: Facebook Anwar Ibrahim

Menurut Anwar, pertemuan dengan delegasi syarikat telekomunikasi terkemuka Sweden itu turut memberi ruang bagi membincangkan perkembangan teknologi digital, peluasan penggunaan 5G serta potensi kerjasama yang lebih erat bagi memperkukuh ekonomi, selain keperluan membangunkan rangkaian telekomunikasi yang lebih hijau dan mampan, selari dengan aspirasi Pelepasan Sifar Bersih negara.

“Saya menghargai keyakinan Ericsson terhadap Malaysia, khususnya pengiktirafan syarikat itu terhadap kemajuan negara dalam membangunkan infrastruktur digital yang kukuh, termasuk rangkaian 5G, pusat data serta usaha memperkukuh keselamatan dan kedaulatan digital,” kata Perdana Menteri.

Pada masa sama, Anwar menyambut baik komitmen Ericsson dalam membangunkan bakat tempatan menerusi program latihan, pemindahan teknologi serta kerjasama dengan universiti dan institusi pendidikan tempatan.

Perdana Menteri berkata, usaha itu penting bagi melahirkan tenaga mahir yang bersedia mendepani tuntutan ekonomi masa hadapan.

“Malaysia menghargai hubungan baik yang telah terjalin dengan Ericsson sejak sekian lama dan yakin kerjasama itu akan terus diperkukuh berasaskan kestabilan serta kepercayaan,” kata Anwar.

Beliau juga menyifatkan kerjasama berterusan antara kedua-dua pihak itu berpotensi membuka lebih banyak peluang untuk memacu pertumbuhan ekonomi digital serta kemakmuran Malaysia.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img