POLIS menahan dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes kecurian barang kemas dari sebuah kedai emas di Jalan Ahmad Shah, di Temerloh pada 27 April lalu.
Kedua-dua suspek yang memiliki 40 kes berkaitan jenayah dan narkotik ditahan di Perlis dan Pahang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, tangkapan pertama pada jam 11.50 pagi membabitkan suspek berusia 46 tahun di sebuah rumah di Kampung Padang Siding, Arau, Perlis manakala suspek kedua berusia 42 tahun ditahan pada jam 10.45 malam hari sama.
“Suspek kedua ditahan di rumah di Perumahan Makmur Hijrah Jaya 4, Kuantan. Dia yang bekerja buruh kampung mempunyai 22 rekod membabitkan sembilan jenayah dan 13 kesalahan narkotik.
“Sementara suspek pertama memiliki 18 rekod lampau iaitu lima jenayah dan 13 narkotik,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Mohd Nasyim, hasil soal siasat awal mendapati suspek pertama mengaku terbabit kejadian curi, dengan suspek kedua sebagai pemandu kenderaan.
“Suspek pertama juga didakwa telah menjual barangan kemas yang dicuri di Kuantan,” katanya.
Beliau memberitahu, kes ini disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian jam 1.20 petang 27 April lalu, pemilik kedai emas berusia 32 tahun mendakwa didatangi lelaki berpura-pura membeli barangan kemas, sebelum melarikan seutas rantai tangan anggaran berat lebih lapan gram bernilai kira-kira RM5,000.
Kejadian dilapor berlaku dalam tempoh lima minit dan ketika kejadian tiga individu berada di dalam kedai.


