KERJA-kerja menaik taraf Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak membabitkan peruntukan RM9.6 juta siap sepenuhnya, sekali gus menjadi antara 22 daripada 61 projek naik taraf PPR di Kuala Lumpur yang berjaya diselesaikan setakat ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, projek itu dilaksanakan menerusi peruntukan tambahan RM300 juta yang diluluskan kerajaan tahun ini bagi menaik taraf semua PPR di ibu negara secara sistematik.
Menurutnya, peruntukan tersebut dipersetujui oleh semua Ahli Parlimen Kuala Lumpur bagi memastikan penyelenggaraan PPR dilaksanakan secara menyeluruh demi meningkatkan aspek keselamatan dan keselesaan penghuni.
Katanya, lebih 8,000 penduduk melibatkan 1,824 unit kediaman di PPR Desa Tun Razak yang mula didiami sejak 1998 menerima manfaat daripada projek naik taraf itu.
“Kita tidak mahu kerja penyelenggaraan dibuat secara ad hoc. Kita mahu ada dana khusus untuk penyelenggaraan kerana mudah membangunkan sesuatu projek, tetapi jika tiada peruntukan penyelenggaraan, aspek keselamatan akan terjejas,” katanya selepas meninjau projek berkenaan, hari ini.
Beliau berkata, antara kerja yang dilaksanakan termasuk penggantian pendawaian elektrik, penurapan jalan serta penambahbaikan sistem keselamatan kebakaran susulan beberapa insiden kebakaran di PPR tahun lalu.
Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr. Fadhlun Mak Ujud berkata, daripada keseluruhan kos RM9.6 juta, sebanyak RM7 juta diperuntukkan bagi kerja mengecat bangunan.
Katanya, RM1.68 juta lagi digunakan bagi menaik taraf sistem pencegahan kebakaran dan pendawaian elektrik, manakala hampir RM1 juta diperuntukkan bagi kerja penurapan jalan.
Menurut beliau, kerja menaik taraf sistem riser kebakaran dan sistem perparitan turut dilaksanakan bagi meningkatkan tahap keselamatan serta keselesaan penghuni.
“Kita telah menyiapkan hampir 22 projek dan menjangkakan semua projek naik taraf PPR di bawah peruntukan RM300 juta itu dapat disiapkan menjelang hujung tahun ini,” katanya.
Mengulas isu kekurangan parkir di PPR Desa Tun Razak, Fadhlun berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang mengenal pasti tanah kosong yang bersesuaian untuk dijadikan kawasan parkir sementara.
Pada majlis sama, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menggesa penduduk supaya bersama-sama memelihara kemudahan yang telah dinaik taraf agar dapat dimanfaatkan dalam tempoh yang lebih lama.
Menurutnya, budaya menjaga harta awam dan kemudahan sendiri perlu dipupuk supaya pelaburan kerajaan untuk meningkatkan kualiti perumahan rakyat terus memberi manfaat kepada semua penghuni.






