SERAMAI 25 individu diambil tindakan dalam Operasi Bersepadu Banteras Pengemis yang dijalankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama beberapa agensi penguatkuasaan di sekitar ibu negara, kelmarin.
DBKL dalam kenyataan berkata, operasi bermula jam 8 malam itu dijalankan di sekitar Jalan Bukit Bintang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Alor dan Leboh Pudu.
Katanya, operasi berkenaan membabitkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Daripada jumlah itu, 13 adalah warganegara manakala 12 bukan warganegara.
“Lima individu diserahkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut membabitkan dua individu kepada JIM dan tiga lagi kepada JKM,” katanya.
DBKL berkata, pihaknya akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama agensi berkaitan dalam usaha membanteras aktiviti mengemis.
“Langkah itu juga bagi memastikan ketenteraman, keselamatan dan kesejahteraan warga kota sentiasa terpelihara,” tambah kenyataan itu.






