POLIS mengesahkan siasatan kes kehilangan Shahir Zainul, 46, selesai selepas identiti mayat lelaki tanpa waris yang ditempatkan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) dikenal pasti sebagai mangsa.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab berkata, pengesahan itu dibuat selepas ibu mangsa hadir melakukan pengecaman di HPP, semalam.
“Hasil siasatan mendapati HPP sebelum ini sudah mengeluarkan hebahan berhubung mayat seorang lelaki dewasa tanpa identiti yang ditempatkan di Jabatan Perubatan Forensik hospital berkenaan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia akibat Sindrom Koronari Akut pada jam 5.28 petang, 11 Jun lalu ketika menerima rawatan di HPP.
“Susulan pengecaman yang dilakukan ahli keluarga, identiti mangsa disahkan sebagai Shahir Zainul yang dilaporkan hilang sejak 10 Jun lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Anuwal menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian itu sehingga boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi terbabit, pihak media serta orang awam yang menyalurkan maklumat dan memberikan kerjasama sepanjang usaha mengesan mangsa dijalankan.
Media sebelum ini melaporkan, Shahir keluar dari rumahnya di Bukit Gedung, Bayan Baru pada jam 5 pagi, 10 Jun lalu sebelum gagal dihubungi ahli keluarganya.
Susulan laporan kehilangan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilaksanakan di kawasan Jabatan Pertanian, Lebuh Bukit Jambul iaitu lokasi motosikal mangsa ditemukan.
Bagaimanapun, operasi itu ditamatkan selepas hasil pencarian adalah negatif dan tiada petunjuk baharu ditemukan.






