DUA keluarga terpaksa dipindahkan sementara berikutan kebakaran tanah gambut di Jalan Sungai Kapal yang merebak berhampiran kediaman mereka di Taman Bayu Damai di Kota Tinggi, Johor semalam.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai, Pegawai Bomba Kanan I (PBKI) Shahrizan Selamat berkata, keluasan keseluruhan kebakaran tanah gambut itu dianggarkan lebih empat hektar.

Katanya, sehingga kini kira-kira 57 peratus kawasan yang terbakar berjaya dipadamkan.
“Keadaan tiupan angin juga membawa asap tebal ke kawasan perumahan Taman Bayu Damai,” katanya, lapor BH.
Sementara itu, Ahi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Aznan Tamin berkata, dua keluarga itu dipindahkan ke Balai Komuniti Teluk Empang kerana jarak rumah terlalu hampir lokasi kebakaran menyebabkan mereka mungkin terdedah asap tebal.
Katanya, operasi memadamkan kebakaran itu membabitkan BBP Punggai, Sebana Cove, Sungai Rengit, Bandar Penawar, CEFS Rapid Pengerang serta Sukarelawan Bomba Sungai Rengit.


