47 suspek geng curi kabel ditahan, rugi RM4.5 juta

SERAMAI 47 suspek termasuk seorang remaja berusia 17 tahun ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan mencuri kabel dan memecah masuk premis telekomunikasi di daerah ini yang menyebabkan kerugian kira-kira RM4.5 juta.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, kesemua suspek ditahan dalam tempoh Januari hingga 30 September lalu di sekitar Nilai, Lembah Klang dan Selangor.

Katanya, tangkapan itu membabitkan tujuh geng iaitu Geng Usop TM, Geng Siva RRU Maxis, Geng Krol Copperstrip, Geng Subcon Amazon, Geng Leong Kabel, Geng Usop Klang dan Geng Intheren Kabel IPG.

“Secara keseluruhan, seramai 47 suspek ditahan, dengan tangkapan paling ramai membabitkan Geng Roy TM iaitu seramai 22 orang,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, hari ini, lapor Sinar Harian.

Menurutnya, kumpulan terbabit memecah masuk rumah sawat Telekom Malaysia (TM), selain mencuri kabel tembaga di pencawang dan premis, dram kabel serta komponen telekomunikasi.

Katanya, antara barangan yang menjadi sasaran ialah kabel TM, kabel tembaga, slot kad telekomunikasi, unit radio jarak jauh dan konduktor kilat.

“Ini kerana kesemua barangan ini mempunyai nilai tinggi dan biasanya akan dijual secara pukal di pasaran, dengan harga satu kilogram tembaga mencecah RM40.

“Kita juga mendapati sebahagian daripada suspek pernah bekerja sebagai subkontraktor TM,” katanya.

Johari berkata, kawasan yang menjadi tumpuan suspek ialah Labu, Mantin dan Lenggeng, manakala kegiatan itu dijalankan antara jam 2 pagi hingga 6 pagi.

Tambahnya, enam geng berkenaan sudah didakwa di mahkamah dan kes disiasat mengikut Seksyen 457, Seksyen 448 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

“Saya boleh katakan kes kecurian kabel di daerah ini meningkat dengan merekodkan 72 kes berbanding 52 kes pada tahun sebelumnya,” katanya.

Dalam kes berasingan, Johari berkata, lima wanita termasuk tiga warga asing berusia antara 28 hingga 32 tahun ditahan dalam Op E-Noda.

Jelasnya, mereka ditahan selepas didapati menjalankan kegiatan pelacuran dalam talian sejak tiga bulan lalu.

“Hasil siasatan mendapati suspek menggunakan aplikasi dalam talian WeChat dan Michat untuk mencari dan berhubung dengan pelanggan.

“Suspek akan menawarkan perkhidmatan pelacuran dengan bayaran RM200 hingga RM300 kepada pelanggan, yang akan dilayan di hotel bajet di sekitar daerah ini,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here