50 tahun kuliah Rusila, kini 15 jilid Tafsir at-Tibyan dihasilkan Abdul Hadi

PENERBITAN lengkap Tafsir at-Tibyan yang dilancarkan oleh Yayasan Permata Ummah disifatkan sebagai catatan sejarah memperkasa pembelajaran dan penghayatan ilmu al-Quran.

Pengerusi Yayasan Permata Ummah, Dr Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, usaha itu mendekatkan masyarakat kepada kitab Allah SWT melalui ilmu, kesungguhan, penghayatan dan amalan.

Menurutnya, Tafsir at-Tibyan mempunyai sejarah panjang berakar daripada pengajian dan kuliah tafsir oleh Presiden Pas, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Masjid Rusila sejak 1976.

Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi

Katanya, pengajian yang bermula sejak 50 tahun lalu itu merangkumi keseluruhan 30 juzuk al-Quran dan menjadi asas kepada usaha menghimpunkan bahan berkenaan untuk diterbitkan.

“Maknanya genap 50 tahun. Kuliah tafsir tersebut merangkumi keseluruhan 30 juzuk al-Quran dan menjadi asas kepada usaha menghimpunkan serta menyusun karya ini dalam bentuk penerbitan,” katanya.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk itu berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Tafsir Al Tibyan di Cyber Event Hall, di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, proses penerbitan melalui pelbagai peringkat penelitian, penyusunan, penyuntingan, semakan dan pengurusan sebelum menghasilkan keseluruhan 15 jilid merangkumi 30 juzuk al-Quran.

Muhammad Khalil menyatakan, karya berkenaan turut mendapat kelulusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Tiga dasawarsa membedah naskhah suci, Tiada jemu pernah teliti, mimbar Rusila menjadi saksi, cahaya al-Quran membina generasi. Dari Rusila berkumandang di Cyberjaya, bergelut, berkeringat si anak muda, terbentanglah sebuah mahakarya, Tafsir At-Tibyan ditabalkan nama,” katanya, menggambarkan perjalanan panjang penghasilan karya itu

Beliau menegaskan, Yayasan Permata Ummah tidak mahu Tafsir at-Tibyan sekadar berjaya diterbitkan, tetapi tidak dibaca, dikaji dan dihayati oleh masyarakat. Sebaliknya, ulas beliau, matlamat lebih besar ialah memastikan ilmu terkandung di dalamnya dapat disampaikan kepada masyarakat dalam bentuk mudah difahami, tersusun dan sesuai dengan keperluan semasa.

“Atas sebab itu, Yayasan Permata Ummah melihat penerbitan Tafsir At-Tibyan sebagai fasa pertama kepada satu perancangan yang lebih panjang. Insya-Allah selepas penerbitan ini akan digerakkan pelbagai inisiatif untuk memperluas penghayatan Tafsir at-Tibyan dalam masyarakat.

“Antaranya termasuk usaha menerapkan kandungan Tafsir at-Tibyan dalam pelbagai institusi pendidikan yang bersesuaian melalui pendekatan yang bersesuaian dengan peringkat pendidikan dan keperluan para pelajar,” jelasnya.

Selain itu menurut beliau, penghayatan berkenaan turut dirancang untuk diperluas kepada pelbagai entiti dan institusi kerajaan negeri bagi menterjemahkan nilai al-Quran dalam pendidikan, pembinaan insan, pengurusan masyarakat dan kehidupan seharian.

Beliau menyatakan, pelbagai program pengajian, modul pendidikan, bahan pembelajaran, sesi wacana, seminar, bengkel dan inisiatif penghayatan al-Quran akan dibangunkan secara berperingkat.

“Kita mahu al-Quran atau Tafsir at-Tibyan ini menjadi seperti pohon besar di tengah padang, uratnya tempat bersila, batangnya tempat bersandar, dahannya tempat bergantung dan daunnya tempat berlindung. Ertinya menjadi tempat rujukan masyarakat terutamanya dari segi akidah, ibadah dan akhlak,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Khalil memaklumkan, Yayasan Permata Ummah turut merancang projek Misbahul Muttaqin bagi menghimpunkan serta mendokumentasikan pengajian kitab Riyadus Solihin.

Beliau berkata, pengajian kitab berkenaan disampaikan Ahli Parlimen Marang itu pada setiap pagi Jumaat di Masjid Rusila dan sudah berlangsung selama lebih sedekad.

“Pengajian tersebut merupakan sebahagian daripada tradisi ilmu yang perlu terus dipelihara, dihimpunkan dan disampaikan kepada generasi seterusnya.

“Jika Tafsir At-Tibyan menghimpunkan khazanah pengajian al-Quran, maka projek Misbahul Muttaqin pula diharapkan dapat menjadi satu lagi usaha untuk menghimpunkan khazanah pengajian hadis dan akhlak Rasulullah SAW melalui kitab Riyadus Solihin,” terang beliau.

Beliau menegaskan, ilmu yang disampaikan dalam majlis pengajian tidak seharusnya terhenti selepas majlis berakhir, sebaliknya perlu dirakam, dihimpunkan, disusun dan diwariskan kepada generasi akan datang.

Sehubungan itu, Muhammad Khalil mengajak semua pihak yang mencintai ilmu al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW supaya terus menyokong usaha seumpama itu.

Katanya, sokongan boleh diberikan dalam pelbagai bentuk termasuk tenaga, kepakaran, jaringan, kerjasama, penyebaran ilmu serta sumbangan kepada usaha penerbitan dan pendidikan.

“Semoga dengan sokongan yang berterusan, kita dapat memastikan khazanah ilmu yang telah dibina selama puluhan tahun tidak terhenti pada satu generasi tetapi terus berkembang dan memberi manfaat kepada generasi-generasi yang akan datang,” harapnya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here