SERAMAI 5,883 petugas daripada 44 agensi dikenal pasti berada dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi kemungkinan bencana banjir susulan Monsun Timur Laut (MTL).
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, Pusat Kawalan Kontinjen (CCC) telah diaktifkan pada tahap kesiapsiagaan Standby One sebagai langkah persediaan menghadapi musim berkenaan.
Beliau berkata, pengaktifan itu membolehkan pemantauan situasi, pengumpulan maklumat dan penyelarasan tindakan dilaksanakan secara teratur, termasuk di kawasan berisiko banjir.
Menurutnya, aspek kesiapsiagaan aset dan logistik serta perancangan penugasan turut diberi perhatian bagi memastikan pegawai dan anggota dapat digerakkan segera mengikut keperluan operasi.
“Kerjasama dan penyelarasan bersama agensi pengurusan bencana juga menjadi keutamaan, khususnya dalam aspek pemindahan mangsa, kawalan keselamatan kawasan terjejas, pengurusan lalu lintas serta bantuan kecemasan.
“Ini bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Alzafny berkata, seramai 377 petugas polis, terdiri daripada 47 pegawai dan 330 anggota, turut dikenal pasti untuk penugasan kesiapsiagaan menghadapi MTL di seluruh Negeri Sembilan.
Katanya, mereka bersedia digerakkan bagi memantau kawasan berisiko, membantu operasi pemindahan mangsa serta memastikan kelancaran pergerakan dan akses pasukan penyelamat ke lokasi terjejas.
Antara agensi yang terlibat ialah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan kekuatan 1,960 petugas, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) (740), Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (311), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (210) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (12).
Dalam pada itu, sebanyak 20 lokasi titik panas banjir di enam daerah dikenal pasti memerlukan pemantauan sepanjang tempoh MTL.
Lokasi berkenaan meliputi satu kawasan di Jelebu, tiga di Seremban, sembilan di Port Dickson, satu di Jempol iaitu Kampung Serting Ulu, dua di Kuala Pilah dan empat di Tampin.
“Kesemua kawasan berkenaan akan diberi perhatian dalam perancangan pemantauan dan penugasan bagi membolehkan tindakan awal dilaksanakan sekiranya berlaku peningkatan risiko banjir,” katanya.





