TINDAKAN Ahli Parlimen pembangkang yang menandatangani Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) dengan kerajaan bukan sesuatu yang wajar disifatkan sebagai perbuatan dajal, sebaliknya menunjukkan kebijaksanaan mereka mengambil peluang demi kepentingan rakyat di kawasan masing-masing.
Pakar geostrategis dan analisis politik, Prof Dr Azmi Hassan berkata, penggunaan ungkapan dajal terhadap individu berkenaan merupakan satu gelaran yang amat keji dalam kalangan masyarakat Melayu Islam.

Bagaimanapun, beliau berpandangan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sepatutnya mengemukakan hujah lebih konkrit bagi mengkritik perjanjian berkenaan, bukannya menggunakan ungkapan yang boleh dianggap menghina pihak terbabit.
“Ungkapan dajal bagi orang Melayu Islam itu satu yang dikatakan amat keji sekali. Orang yang dikenakan itu dikatakan berada dalam kategori keji dan tidak perlu dihormati.
“Tapi hakikatnya apabila Tuan Guru Haji Hadi Awang berkata sedemikian kepada ahli pembangkang yang menandatangani CSA itu, sepatutnya beliau memberikan hujah yang lebih konkrit untuk merendahkan perjanjian berkenaan,” katanya kepada utusanmelayuplus hari ini.
Isu itu timbul susulan kenyataan Abdul Hadi yang menggunakan ungkapan dajal terhadap ahli Parlimen pembangkang yang bersetuju menandatangani CSA dengan kerajaan, sekali gus mencetuskan perbahasan mengenai pendirian wakil rakyat pembangkang terhadap kerjasama berkenaan.
CSA merupakan perjanjian yang melibatkan kerjasama antara kerajaan dan ahli Parlimen pembangkang dalam aspek kepercayaan serta perbekalan, termasuk sokongan terhadap urusan pentadbiran kerajaan. Antara perkara yang menjadi perhatian dalam perjanjian itu ialah isu peruntukan kepada kawasan yang diwakili Ahli Parlimen pembangkang.
Mengulas lanjut, Azmi berkata, tindakan Ahli Parlimen pembangkang menandatangani CSA sebenarnya menunjukkan kebijaksanaan mereka menggunakan peluang yang tersedia, khususnya bagi memastikan kepentingan penduduk di kawasan masing-masing dapat dibela.
Beliau berkata, antara perkara yang mendorong tindakan itu ialah jaminan berhubung pemberian peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang pada kadar sama seperti wakil rakyat kerajaan, meskipun perkara berkenaan dinafikan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Peruntukan Ahli Parlimen akan diberikan kepada mereka sama rata dengan peruntukan Ahli Parlimen daripada pihak kerajaan. Sebab itu Syed Saddiq (Syed Abdul Rahman) juga terus menandatangani CSA.
“Jadi kebijakan itu adalah sebenarnya Datuk Seri Anwar tidak memerlukan sangat sokongan 13 ahli pembangkang ini kerana beliau telah pun mempunyai sokongan yang cukup menghampiri dua pertiga daripada Ahli Parlimen yang menyokong beliau pada ketika ini,” katanya.
Menurutnya, tindakan berkenaan lebih kepada usaha Ahli Parlimen pembangkang mengambil kesempatan untuk mendapatkan manfaat bagi pembangunan kawasan masing-masing dan membantu penduduk yang diwakili mereka.
“Jadi kebijakan itu sukar untuk menyatakan mereka ini dajal kerana kebijakan itu adalah untuk mencuri peluang supaya mereka dapat membangunkan dan membantu konstituensi mereka, penduduk kawasan mereka.
“Jadi itu dikatakan bahawa seharusnya Tuan Guru Haji Hadi Awang kalau nak kritik memanglah kena kritik, tapi perlu menyertakan hujah-hujahnya tanpa menggunakan ungkapan yang keji itu,” katanya.





