SEORANG akauntan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Georgetown hari ini atas pertuduhan melakukan hubungan seks dengan seorang wanita tanpa kerelaannya, tahun lalu.
Tertuduh, Then Zi Quan, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu terhadap wanita berusia 25 tahun di sebuah unit kediaman di Ideal Residency, Jalan Lembah, Kampung Kastam, pada jam 4.15 petang, 24 Ogos 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan, lapor BH.
Timbalan Pendakwa Raya, M Darrshini mencadangkan jaminan RM30,000 terhadap tertuduh selain beberapa syarat tambahan, termasuk tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Bagaimanapun, peguam bela, K Mahendran dan M Sharmila Morgan memohon supaya jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guam mereka bekerja sebagai akauntan dengan pendapatan RM2,000 sebulan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta mengenakan syarat tambahan seperti dicadangkan pihak pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula dan penyerahan dokumen pada 14 Disember depan.





