PELAKSANAAN BUDI MADANI (BUDI Diesel) esok dengan harga RM2.10 seliter berbanding harga pasaran RM3.97 seliter akan memberi manfaat kepada kira-kira 400,000 pemilik kenderaan persendirian yang layak di Semenanjung Malaysia serta 300,000 lagi di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan berkata, ia merupakan peluasan ketara berbanding BUDI Diesel Individu sebelum ini, yang hanya melibatkan kira-kira 180,000 penerima bantuan tunai bulanan di Semenanjung Malaysia untuk menampung sebahagian kos pembelian diesel pada harga pasaran.
‘’Selain itu, kira-kira 70,000 kenderaan komersial dan pengangkutan barangan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan kini layak membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter di bawah SKDS. Kerajaan MADANI juga akan memperluas liputan kepada kenderaan persendirian jenis pikap dan jip yang berdaftar atas nama syarikat, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan,’’ kata MOF dalam kenyataan.
MOF berkata, subsidi bahan api memastikan rakyat yang layak tidak perlu membayar harga pasaran penuh.
‘’Langkah ini membantu mengurangkan tekanan kos hidup, melindungi sektor penting yang bergantung kepada bahan api, dan menyokong pertumbuhan negara,’’ kata kenyataan itu.
Menurut MOF, akses awal BUDI Diesel bagi pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak di Semenanjung Malaysia telah berjalan lancar sejak dibuka pada Sabtu lalu.
‘’ Sistem pengesahan MyKad di stesen minyak beroperasi dengan baik tanpa sebarang masalah serius dilaporkan oleh penerima subsidi mahupun syarikat minyak. Setakat jam 12.00 tengah hari , hari ini kira-kira 80,000 transaksi telah direkodkan, melibatkan pembelian sekitar 3.2 juta liter diesel bersubsidi bernilai hampir RM7 juta pada harga RM2.15 seliter,’’ kata MOF.
Sementara itu MOF turut memalumkan, pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak juga boleh memohon tambahan 100 liter sebulan melalui portal rasmi BUDI MADANI, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
‘’Setakat jam 9.00 pagi, hari ini, lebih 22,000 permohonan telah diterima melalui portal rasmi BUDI MADANI bagi tambahan 100 liter sebulan tersebut,’’ kata MOF.
Menurut MOF, Kerajaan MADANI turut mengambil maklum bahawa terdapat pengguna sebenar kenderaan diesel yang menggunakan kenderaan berdaftar atas nama ahli keluarga terdekat.
‘’Sehubungan itu, JPJ akan melaksanakan pengecualian fi tukar hak milik kenderaan diesel selama tiga bulan mulai 1 Julai 2026, melibatkan fi yang pada masa ini boleh mencecah sehingga RM100.
‘’Bagi memudahkan urusan tersebut, kaunter JPJ akan dibuka pada hujung minggu mulai 4 Julai hingga 26 Julai 2026, dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang, di semua Pejabat JPJ Negeri dan Pejabat JPJ UTC Negeri.
‘’Kelayakan subsidi boleh dipindahkan kepada ahli keluarga terdekat Kementerian Kewangan turut menyediakan mekanisme pemindahan kelayakan BUDI Diesel bagi kenderaan yang digunakan oleh ahli keluarga terdekat berbeza daripada pemilik berdaftar,’’ kata MoF.
Melalui mekanisme ini, kata MoF penerima asal BUDI Diesel boleh memindahkan fungsi membeli diesel bersubsidi kepada seorang ahli keluarga terdekat, iaitu pasangan, ibu atau bapa, anak atau adik-beradik, tertakluk kepada syarat dan pengesahan yang ditetapkan.
‘’Setakat jam 9.00 pagi, 30 Jun 2026, hampir 1,000 permohonan pemindahan kelayakan BUDI Diesel telah diterima melalui MoF. Pemindahan ini hanya dibenarkan sekali dan kepada seorang penerima sahaja,’’ kata kementerian itu.
MoF memberitahu, selepas diluluskan, penerima boleh menggunakan MyKad sendiri untuk membeli diesel bersubsidi berdasarkan kelayakan BUDI Diesel pemilik asal.
‘’Semak kelayakan melalui portal rasmi BUDI MADANI. Pemilik kenderaan diesel persendirian boleh menyemak status kelayakan, had kelayakan bulanan dan maklumat lanjut di www.budimadani.gov.my.
‘’Kerajaan MADANI akan terus memantau pelaksanaan BUDI Diesel bagi memastikan subsidi sampai kepada pengguna yang layak, mengurangkan ketirisan dan melindungi bekalan negara,’’ kata MoF.






