SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan reman seorang pegawai kanan sebuah agensi penguat kuasa kerana disyaki meminta rasuah kira-kira RM50,000.
Menurut sumber, suapan berkenaan dipercayai sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap sebuah syarikat yang memiliki kenderaan tidak berdaftar.
Perintah reman selama tiga hari sehingga Khamis ini dikeluarkan Majistret Cynthia Noor Haizean Sulaiman selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor hari ini.
Sumber itu berkata, suspek lelaki berusia lingkungan 30-an ditahan kira-kira jam 5 petang semalam di sekitar Lembah Klang.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada 23 Jun lalu dan telah meminta wang rasuah sebanyak RM50,000 untuk menutup kes syarikat tersebut.
“Bagaimanapun selepas itu suspek telah bersetuju untuk menerima wang rasuah secara tunai sebanyak RM15,000 setelah diminta untuk mengurangkan bayaran daripada RM50,000.00,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat dibawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.






