859,760 pengundi tentukan siapa kuasai NS melalui 103 calon di 36 DUN

HARI ini arena politik negara pasti tertumpu ke negeri penuh adat iaitu Negeri Sembilan (NS) yang bakal menyaksikan seramai 103 calon Pilihan Raya Kecil (PRN) menyerahkan nasib mereka kepada 859,760 pengundi di 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Hari ini juga penentuan apakah kerajaan negeri sedia ada  terus diberi mandat atau arus perubahan berlaku.

Segala-galanya terletak di tangan pengundi yang mana pada Selasa lalu, seramai 16,467 anggota keselamatan dan pasangan mereka sudahpun melunaskan tanggungjawab masing-masing melalui proses pengundian awal.

Dan hari ini pengundi biasa pula akan menentukan calon manakah yang akan mengisi 36 kerusi DUN dan parti manakah yang akan menerajui pemerintahan di NS.Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan ialah 19 kerusi manakala majoriti dua pertiga pula ialah 24 kerusi.

Sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) NS dibubarkan pada 5 Jun lalu, negeri itu dikuasai  oleh Pakatan Harapan (PH) selama sepenggal selepas kali pertama menawan negeri tersebut  pada pilihan raya umum (PRU) 2018 dan seterusnya kekal dalam mentadbir Kerajaan Negeri selepas PRN 2023 hasil kesepakatan dengan Barisan Nasional (BN).

Pada 2018 PH merampas NS daripada BN apabila memenangi 20 daripada 36 kerusi manakala BN pula hilang kuasa setelah hanya mampu menguasai 16. Pada 2023 pula PH terus berada dalam kerajaan walaupun menang hanya 17 kerusi (kurang dua kerusi untuk mendapat majoriti mudah 19 kerusi).

Bagaimanapun hasil kesepakatan dengan BN, kedua-dua gabungan politik menubuhkan kerajaan negeri dengan majoriti selesa 31 kerusi selepas BN menang 14 kerusi manakal pembangkang dianggotai oleh Pas (3 kerusi) dan Bersatu (2 kerusi).

Sebab itulah PRN kali ini menjadi tumpuan kerana PH akan bertarung dengan BN. Gandingan dalam PRN 2023 dan sehingga kini  rakan dalam Kerajaan Persekutuan. Keadaan itu berlaku kerana BN memilih untuk mewujudkan persefahaman dengan Perikatan Nasional (PN) diwakili oleh Pas, Wawasan, Gerakan dan MIPP.

Melalui persefahaman tanpa sebarang perjanjian politik secara rasmi itu, bakal menyaksikan mereka menentang PH yang bertanding di kesemua 36 kerusi, BN meletakkan calon di 25 kerusi manakala PN di 11 kerusi.

Selepas ditumbangkan pada 2018 dan membantu PH menubuhkan kerajaan negeri pada 2023, BN menjadikan PRN 2026 untuk merampas kembali Negeri Sembilan yang turut menyaksikan selain berhadapan dengan PH, mereka juga akan ditentang oleh Bersatu – anggota PN yang membuat keputusan bertarung secara solo.

Bersatu yang bertanding 24 kerusi akan berhadapan dengan BN dan PH di tujuh DUN iaitu Pertang, Sungai Lui, Palong, Lenggeng, Juasseh, Seri Menanti dan Senaling.

Dan akan bertembung dengan PN di Klawang yang diwakili oleh Wawasan, Serting (Pas), Sikamat (Wawasan), Ampangan (Pas), Mambau (Wawasan), Paroi (Pas), Bagan Pinang (Pas) dan Gemas (Wawasan).

Pertarungan paling mendapat tumpuan hari ini melibatkan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun di Linggi, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke (Chennah), Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan (Rantau) dan Pengerusi Perhubungan UMNO NS, Datuk Seri Jalaluddin Alias (Pertang).

Sejak 2008 hinggalah PRN 2023, Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson bertanding di DUN Sikamat. Tetapi untuk PRN kali ini, ahli politik berusia 59 tahun mengambil keputusan berpindah ke DUN Linggi.

Walaupun masih berada di dalam Parlimen Port Dickson namun ia cabaran besar kepada anak kelahiran Kampung Pachitan, Port Dickson itu memandangkan DUN Linggi dianggap kubu kuat BN.

Aminuddin akan menentang penyandang kerusi itu Datuk Mohd Faizal Ramli (BN) dan Datuk Zamri Md Said (Bersatu).

Turut menjadi perhatian ialah pertarungan satu lawan satu antara  Anthony Loke dengan Calon BN Siow Kong Choon (BN) di DUN Chennah.

Pada PRN 2023,  Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban menenangi kerusi Dun Chennah dengan majoriti 2,200 undi selepas memperoleh 5,888 undi berbanding Calon BN Rosmadi Ariff yang mendapat 3,688 undi.

Pertarungan melibatkan dua pemimpin utama UMNO Negeri Sembilan juga menjadi tumpuan.

Timbalan Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN Negeri Sembilan, Mohamad Hasan akan mempertahankan kerusi DUN Rantau.

Ini  merupakan kali keenam beliau bertanding di DUN selepas berjaya mempertahankannya pada pilihan raya 2004, 2008, 2013, 2019 (Pilihan Raya Kecil) dan 2023 (PRN).

Pada PRN NS 2023, Menteri Luar Negeri dan Ahli Parlimen Rembau itu menang di DUN Rantau dengan majoriti 10,280 undi selepas mendapat 16,957 undi berbanding pencabarnya dari PN yang memperoleh 6,677 undi.

Di DUN Sepertang pula, Jalaluddin Alias akan mempertahankan kerusi yang dimenangi pada 2023 dengan majoriti 2,790 undi apabila akan ditentang oleh dua calon daripada PH dan Bersatu.

Kesimpulanya, kesemua parti telah berkempen selama 14 hari bermula 18 Julai lalu dan berakhir malam tadi. Segala yang mahu dikatakan sudah disampaikan dan apa mereka mahu lakukan sudah  dibentangkan, kini terserah kepada 859,760 pengundi termasuk 7,391 pengundi pos untuk membuat keputusan.

Bermula jam 8 pagi tadi, sebanyak 401 pusat mengundi melibatkan 1,668 saluran dibuka serentak, di situlah mereka menentukan siapa yang mereka mahukan – itu hak mutlak dan eksklusif pengundi.

Hak itu akan berakhir pada jam 6 petang ini di kesemua pusat mengundi yang melibatkan sekolah, balai raya, dewan dan kolej.

Dengan SPR menyasarkan 72 hingga 75 peratus keluar menunaikan tanggungjawab. Apabila keputusan diumumkan seawal jam 10 malam dan keputusan penuh sebelum tengah malam –  maka tidak kiralah  sama ada berlaku senario kekal atau berubah, menang atau kalah, keputusan rakyat  harus dihormati kerana itulah ‘pesta demokrasi’.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img