PRN Negeri Sembilan : Aminuddin yakin PH mampu lepasi sasaran 19 kerusi

MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yakin Pakatan Harapan (PH) mampu melepasi sasaran 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Aminuddin yang juga calon PH bagi DUN Linggi berkata, keyakinan itu berdasarkan maklum balas jentera parti dan penilaian yang dibuat di semua kawasan ditandingi gabungan berkenaan.

“Kami masih yakin bahawa kami akan melepasi 19 kerusi. Seperti yang saya katakan sebelum ini, insya-Allah kami akan melepasi sasaran itu.

“Saya yakin sehingga saat akhir malam tadi selepas menyemak semua kawasan yang kita bertanding, semuanya mempunyai potensi yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas selesai menunaikan tanggungjawab mengundi pada PRN Negeri Sembilan ke-16 di Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, Sikamat, pagi ini.

Mengulas mengenai pelaksanaan prosedur baharu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di beberapa pusat mengundi, Aminuddin berkata langkah itu sepatutnya dibincangkan terlebih dahulu dengan semua calon sebelum dilaksanakan.

Menurutnya, pihaknya bimbang pelaksanaan prosedur tersebut boleh melambatkan proses pengundian dan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengundi.

“Saya rasa perkara ini sepatutnya dibincangkan terlebih dahulu kepada semua calon sebelum pelaksanaannya kerana kita tidak tahu apa yang hendak dilaksanakan dan bagaimana ia boleh membantu.

“Kita khuatir ia akan mengganggu proses pengundian hari ini dan mungkin menyebabkan orang ramai terpaksa menunggu lebih lama sehingga menimbulkan kemarahan,” katanya.

Beliau berkata, proses pengundian seharusnya berjalan lancar dan pantas bagi memberi keselesaan kepada pengundi.

Katanya, sebarang percubaan melaksanakan prosedur baharu tidak wajar dilakukan pada hari pilihan raya kerana dikhuatiri menimbulkan kesulitan kepada pengundi.

“Pilihan raya bukan masa untuk membuat percubaan. Jika gagal, ia hanya akan membebankan pengundi dan menyebabkan mereka tidak berpuas hati,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img