JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi tempoh 14 hari kepada 940 syarikat kenderaan barangan dan lima syarikat bas yang mempunyai sebanyak 40,595 saman tertunggak untuk menyelesaikan kesemua saman atau berdepan tindakan tegas.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata daripada jumlah itu, kesemua syarikat kenderaan barangan mempunyai 40,222 saman manakala 373 saman membabitkan lima syarikat bas yang tertunggak sejak 2023 dengan nilai keseluruhan RM12.18 juta.
Beliau berkata pihaknya akan mengambil tindakan susulan secara bersasar terhadap syarikat, pemilik kenderaan serta pemandu yang mempunyai rekod saman tertunggak tinggi dan berulang kali gagal menyelesaikannya.
“Sekiranya syarikat-syarikat berkenaan tidak menyelesaikan saman tertunggak ini dalam tempoh 14 hari bermula esok, tindakan selanjutnya akan diambil oleh JPJ,” katanya pada sidang media Ops Tegar di Ibu Pejabat JPJ Perak di Ipoh hari ini, lapor Bernama.
Aedy Fadly berkata tindakan yang diambil termasuk bekerjasama dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk menggantung permit syarikat terbabit.
Beliau berkata sekiranya kenderaan itu berada di atas jalan raya, pihaknya akan mengambil tindakan dengan menyita kenderaan berkenaan sehingga saman diselesaikan.
“Syarikat-syarikat ini sudah diberi peluang untuk menyelesaikan saman mereka, tetapi masih ada yang berdegil walaupun notis telah dikeluarkan,” katanya.
Beliau berkata antara syarikat yang mempunyai jumlah saman tinggi ialah KDEB Waste Management Sdn Bhd dengan 3,083 saman manakala Mainiza Mantap Sdn Bhd (889 saman), Boon Chin Transport Sdn Bhd (767 saman), Syarikat Ehsan Enterprise Sdn Bhd (482 saman) dan Tashwin IT Enterprise (321 saman).
“Syarikat bas yang mempunyai saman tertunggak pula ialah Cepat Ekspres Sdn Bhd dengan 199 saman, GJG Travel & Tours Sdn Bhd (108 Saman), AC Interstate Coach (M) Sdn Bhd (23 saman), Sri Theven Travel & Tours Sdn Bhd (22 saman) dan Star Mart Express Sdn Bhd (21 saman),” katanya.





