Polis tahan dua pemandu terlibat video tular uji kelajuan kereta di Putrajaya

POLIS telah menahan dua pemandu yang disyaki terlibat  dalam video tular memaparkan dua kereta menguji kelajuan di Jambatan Putra, Putrajaya baru-baru ini,

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, kenderaan jenis Proton dan Honda yang digunakan oleh kedua-dua lelaki tempatan berusia 19 dan 21 tahun turut disita.

“Hasil siasatan mendapati kedua-dua individu itu  berada di lokasi kejadian bagi tujuan berkumpul dan menghasilkan kandungan untuk dimuat naik ke media sosial, bukan  untuk berlumba.

“Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu berusia 21 tahun tidak memiliki lesen memandu yang sah, manakala Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan yang dipandunya tamat tempoh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aidi Sham berkata, kedua-dua mereka  dikenakan tindakan saman trafik, manakala ujian air kencing ke atas mereka didapati negatif penggunaan dadah.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 81 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan beliau memberi jaminan bahawa tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan hasil siasatan.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan sebarang aktiviti menguji kelajuan atau berlumba di jalan awam.

“Orang awam dinasihatkan supaya tidak menghasilkan kandungan media sosial yang membabitkan aksi pemanduan yang boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here