Apa pilihan MCA,MIC….mencuba nasib atau dianggap adapun tak untung tak adapun tak rugi?

ANALISIS

SEMEMANGNYA MCA dan MIC sudah lama memendam rasa sejak Barisan Nasional (BN) bersedia bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) selepas PRU-15 lalu bagi  menubuhkan Kerajaan Perpaduan atas dasar ‘akur titah Agong’.

Sejak penubuhan kerajaan itu, MCA dan MIC berasa dipinggirkan. MIC kecewa kerana tidak diberikan kedudukan dalam Kabinet atau GLC manakala MCA pula melihat UMNO lebih cenderung kepada DAP.

Ada juga dakwaan bahawa MCA dan MIC tersinggung dengan sikap UMNO yang membuat keputusan politik berkaitan BN tanpa berbincang dengan mereka sebagai rakan komponen.

 Selepas begitu lama memendam rasa pemimpin dan ahli kedua-dua parti mula memberi isyarat bahawa mereka sudah tahan lagi dilayan bagaikan’ada pun tak untung, tak adapun tak rugi’.

Oleh itu masing-masing memberi bayangan seolah-olah sedia ‘menggugurkan diri’ sebagai komponen BN. Soalnya ke manakah hala tuju MCA dan MIC jika benar-benar mereka melakukan tindakan tersebut?

Pada masa sama, Pas pula melalui Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ‘memanaskan lagi’ situasi apabila  berkata, parti itu memahami kekecewaan kedua-MCA dan MIC.

Tuan Ibrahim berkata, MCA dan MIC bebas untuk menentukan hala tuju mereka, sehubungan itu Pas mengalu-alukan penyertaan mereka ke dalam PN.

 Kenyataan Tuan Ibrahim dibalas oleh Pengerusi BN Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamid yang menyifatkan pelawaan Pas untuk MIC dan MCA menyertai Perikatan Nasional (PN) sekadar usaha memancing parti komponennya tanpa sesuatu yang menguntungkan.

Sebenarnya Tuan Ibrahim tidak memancing, beliau hanya menyatakan kesediaan Pas untuk menerima MCA dan MIC ke dalam PN. Soalnya kalau memancing mesti ‘ada umpan’.

Contohnya Pas kata, kalau MCA dan MIC serta PN, mereka akan diberikan kerusi pengundi majoriti Melayu atau akan dipertimbangkan bertanding di kerusi milik Pas atau Bersatu.

Namun tidak mengapalah, dalam politik, kenyataan boleh dilihat atau ditafsir dari pelbagai dimensi atau sudut bergantung kepada siapa yang bercakap.

Tetapi yang tersurat semakin nampak, yang tersirat semakin jelas  adalah perasaan ahli akar umbi MCA dan MIC. Mereka mula berasa gelisah dan tidak senang dengan cara  kedua-dua parti itu dilayan.

Sehubungan itu mereka mahu kepemimpinan parti mengkaji semula kedudukan dalam BN.

Keadaan itu tidak baik untuk BN namun Ahmad Zahid berkata resolusi itu hanya datang daripada satu dua bahagian MIC sahaja bukannya peringkat kepemimpinan.

Namun dalam MCA, Timbalan Presidennya, Datuk Dr Mah Hang Soon, sebelum ini dilaporkan berkata wujud penolakan yang semakin meningkat dalam kalangan ahli MCA terhadap hubungan rapat UMNO dengan DAP, yang selama ini adalah seteru politik utama mereka, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap peranan masa depan MCA dalam BN.

Untuk rekod, MIC menyertai Perikatan bersama UMNO dan MCA pada 1955 sebelum Perikatan bertukar nama kepada BN sejak 1974.

Sebenarnya, MCA MIC berada dalam dilema sama ada mahu kekal dalam BN atau sebaliknya. Jika  kekal belum tentu  akan diberikan peluang bertanding di kerusi tradisi. Dan lebih berat lagi apabila perlu mengalah kepada PKR dan DAP atas arahan kepimpinan BN.

Dengan adanya kerjasama BN dengan PH, ia adalah isyarat bahawa kedudukan MCA, MIC sebagai parti yang mempunyai peluang bertanding semakin terjejas. Ia memandangkan, UMNO amat memahami mereka memerlukan sokongan penyokong PH untuk memenangi kerusi kawasan tertentu.

Ini disebabkan pengundi bukan Melayu lebih memihak kepada PH berbanding MCA atau MIC. Jadi adakah ‘ada sesuatu yang menguntungkan’ jika mereka kekal dalam BN?

Lagipun apa salahnya mencuba nasib di luar BN daripada duduk di dalam BN tetapi dilayan bagaikan melukut di tepi gantang dan ibarat ‘adapun tak untung, tak adapun tak rugi’.!



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img