Pengawal peribadi maut ditembak tidak sempat hadir anugerah sekolah anak

HASRAT pengawal peribadi untuk menghadiri majlis anugerah sekolah anaknya pada Sabtu ini tidak kesampaian apabila dia maut ditembak di Jalan Rasah menghala ke Plaza Tol Port Dickson, Seremban semalam.

Allahyarham Azrul Fariz Kamarul Baharin, 43, sudah mengambil cuti semata-mata untuk menghadiri majlis anugerah sekolah anaknya yang berusia 12 tahun, namun hajat itu tidak menjadi kenyataan.

Allahyarham Azrul Fariz Kamarul Baharin

Menceritakan kejadian itu, sahabat rapatnya, Nizam Hashim berkata, dia sebak apabila mengetahui hal itu daripada isteri Allahyarham.

“Isteri arwah ada maklumkan kepada saya. Dia ambil cuti sebab nak raikan anaknya… tapi tak kesampaian. Mereka ada lima anak berusia lapan hingga 21 tahun,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Rembau hari ini, lapor Sinar Harian.

Media semalam melaporkan, seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah selepas ditembak ketika berada di dalam kereta Perodua Myvi kira-kira jam 8 pagi.

Mangsa yang maut dipercayai bekerja sebagai pengawal peribadi, manakala seorang lagi mangsa berusia 47 tahun dikatakan majikan Allahyarham dan polis mengesahkan mangsa yang parah itu mempunyai 15 rekod jenayah lampau.

Nizam dalam pada itu turut merayu orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian tersebut kerana ia hanya menambah luka kepada keluarga dan rakan-rakan arwah.

“Macam-macam orang tulis… ada yang tuduh arwah bawa dadah dan macam-macam lagi. Tolonglah, jangan anggap yang bukan-bukan.

“Arwah bekerja sebagai pengawal peribadi, menjaga nyawa orang, mencari rezeki untuk anak dan isteri,” katanya.

Beliau turut meminta agar gambar dan video Allahyarham ketika nazak di dalam kereta tidak ditularkan demi menghormati keluarga.

Mengenali arwah hampir 15 tahun, Nizam menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang komited pada tugas dan sentiasa prihatin terhadap kawan-kawan.

“Kita tak minta semua ini berlaku, tapi inilah risiko kerja kami.

“Kalau bos tak meninggal, kita yang meninggal. Itu yang berlaku kepada kawan saya. Arwah jaga majikan sampai ke titisan darah terakhir,” katanya yang juga pengawal peribadi.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img