RAJA Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail hari ini bertitah, proses melantik Menteri Besar baharu bukanlah satu keputusan yang mudah kerana kesemua wakil rakyat mempunyai kaliber yang hampir sama.
Sehubungan itu, titah baginda, ia memerlukan pertimbangan mendalam demi kepentingan serta pembangunan negeri pada masa hadapan.
“Walaupun terdapat wakil rakyat yang menonjol sejak Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pentadbiran negeri, beta melihat PN sebagai satu entiti politik yang bersatu, bukan terpisah mengikut parti komponen seperti Pas atau Bersatu.

“Saya ambil PN sebagai satu parti, satu bendera. Terimalah keputusan yang saya buat ini kerana ia hasil pemikiran yang mendalam untuk kebaikan negeri,” titah baginda.
Baginda bertitah pada Majlis Istiadat Perlantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perlis di Istana Arau, hari ini
Tuanku Syed Sirajuddin seterusnya bertitah mahu semua pihak perlu memberi tumpuan kepada usaha memajukan negeri.
“Situasi pertukaran Menteri Besar lazimnya berlaku hampir setiap lima tahun, namun apa yang berlaku di Perlis adalah kali pertama apabila Menteri Besar meletakkan jawatan atas faktor kesihatan sehingga memerlukan pelantikan Menteri Besar baharu.
“Malangnya, selepas itu timbul pelbagai spekulasi, tohmahan dan tuduhan dan beta harap selepas ini semua perkara ini dihentikan demi kebaikan negeri ini. Kita mahu negeri ini mara ke hadapan,” titah.
Baginda turut menegaskan, pemilihan Menteri Besar tidak dibuat secara rambang atau mengikut nasib sebaliknya melalui pertimbangan teliti demi memastikan kepentingan rakyat dan negeri terus terpelihara.
“Majoriti wakil rakyat sudah menyatakan kesediaan untuk menerima mana-mana calon MB yang dipilih serta berserah sepenuhnya kepada kebijaksanaan baginda. Beta mahu wakil rakyat PN untuk merapatkan hubungan dan bekerjasama sebagai satu pasukan, tanpa sebarang jurang antara parti komponen.
“Semua sudah menerima hakikat bahawa mereka perlu bekerjasama untuk kepentingan negeri dan rakyat,” titah baginda.
Baginda turut merakamkan penghargaan kepada bekas Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli atas khidmat beliau sepanjang kira-kira tiga tahun menerajui pentadbiran negeri.
“Beta ucap terima kasih kepada Yang Berhormat Mohd Shukri kerana menjalankan tugas sebagai Menteri Besar. Allah sahaja yang dapat menambah pahala dan rahmat kepada beliau.
“Beta menasihatkan semua pihak supaya melupakan perasaan dukacita atau kegembiraan yang berlebihan susulan keputusan itu, sebaliknya kembali bersatu demi kepentingan rakyat dan negeri Perlis,” katanya.
ADUN Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah dilantik menjadi Menteri Besar Perlis selepas menggantikan Mohd Shukri yang juga ADUN Sanglang daripada Pas yang meletakkan jawatan pada 25 Disember lalu.


