SEORANG wanita warga emas kerugian sebanyak RM318,521 selepas diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon atau phone scam yang menyamar sebagai pihak berkuasa.
Mangsa yang berusia 74 tahun dan merupakan pesara kerajaan, membuat laporan polis kira-kira 2.07 petang pada Jumaat lepas selepas menyedari dia menjadi mangsa penipuan sindiket berkenaan.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, mangsa menerima panggilan telefon pada 2 Disember lalu daripada seorang lelaki yang mendakwa wakil daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Lelaki terbabit mendakwa kononnya terdapat individu telah menggunakan nama mangsa bagi tujuan pendaftaran meter elektrik sebuah rumah di Kuantan, Pahang dan mangsa diminta membuat laporan polis di Kuantan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Nasir berkata, suspek kemudian menawarkan diri untuk membuat laporan polis memandangkan mangsa berada di Taiping dan mangsa yang bersetuju telah disambungkan panggilan kepada individu yang menyamar sebagai pegawai polis.
Tambah beliau, suspek kemudian memaklumkan bahawa mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan mengarahkan supaya memberikan kerjasama kepada pihak polis dengan mengikuti arahannya.
“Mangsa diminta memberikan maklumat peribadi miliknya dan memaklumkan mengenai semua wang serta barang kemas yang dimiliki bagi tujuan siasatan,” katanya.
Beliau berkata, mangsa dihubungi seorang lagi lelaki yang mengarahkan supaya membungkus kad ATM dan kesemua barang kemas milik mangsa serta meletakkan bungkusan itu di simpang jalan berhampiran dengan rumah mangsa.
“Mangsa diminta melaporkan setiap pergerakannya sejak 10 hingga 23 Disember dan juga diminta memberikan kata laluan kad ATM miliknya bagi tujuan siasatan.
“Disebabkan ketakutan, mangsa mengikuti kesemua arahan yang diberi dan telah memindahkan wang Amanah Saham Bumiputera ke dalam akaun bank miliknya serta memberikan maklumat akaun Tabung Haji sepertimana yang diarahkan,” katanya.
Mohamad Nasir memberitahu, mangsa kemudian membuat semakan pada akaun bank dan Tabung Haji miliknya dan mendapati kesemua wang dalam akaun berkenaan telah tiada pada 23 Disember lalu.
“Hasil semakan oleh pihak bank terdapat transaksi yang bukan dilakukan oleh mangsa dan wanita tersebut mengesyaki transaksi wang dalam akaun milik mangsa telah dilakukan oleh scammer,” katanya sambil menambah kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.


