MIC hantar wakil ke Perhimpunan Agung Pemuda Bersatu, Tok Mat Hasan minta MIC jangan pendam pandangan

KEHADIRAN Timbalan Ketua Pemuda MIC, K Kesavan yang mewakili parti itu ke Perhimpuan Agung Pemuda Bersatu hari ini menghangatkan lagi spekulasi berkaitan penyertaan MIC ke dalam Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun Kesavan menjelaskan kedatangan beliau adalah atas jemputan Bersatu dan perkara itu disahkan oleh Timbalan Presiden MIC Datuk M.Saravanan yang menyatakan Timbalan Ketua Pemuda MIC itu mewakili parti berkenaan.

 Semalam, Setiausaha Agung PN Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendedahkan gabungan itu telah mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan MIC dan MCA.

Kedua-dua parti tersebut bersama-sama membantu menubuhkan Barisan Nasional (BN) bersama UMNO pada awal 1970-an dan ketiga-tiganya juga merupakan rakan gabungan dalam Parti Perikatan sebelum itu.

Di Seremban, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan menasihatkan kepimpinan MIC tidak memendam pandangan mereka dalam mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN).

Katanya, pimpinan parti itu tidak seharusnya mengambil jalan singkat mengeluarkan kenyataan di luar dewan tertinggi kerana bimbang disalahertikan.

“Kalau ada pandangan, beritahulah…jangan isi hati dipendam dalam mesyuarat tapi di luar cakap lain, tak elok macam itu,” katanya.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO menyuarakan kebimbangan keharmonian BN boleh terjejas dengan tindakan dan kenyataan dibuat di luar.

“Jika ada apa-apa hasrat, kemukakan kepada platform Dewan Tertinggi BN yang selama ini menjadi forum kepada semua parti gabungan dalam BN termasuk Umno dan MCA.

“Tak usahlah kita bercakap di luar, sebab kadang-kadang boleh disalah erti, maka ada baiknya pemimpin parti komponen bertemu dan berbincang menerusi Dewan Tertinggi BN.”

Terdahulu, MIC Kedah, Pulau Pinang, Selangor, dan Wilayah Persekutuan meluluskan usul parti meninggalkan gabungan berkenaan.

Pada 16 Ogos lalu, Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran mengakui MIC ada melakukan perbincangan tidak rasmi dengan PN, yang menyentuh hala tuju parti itu.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img