SEORANG kanak-kanak lelaki berdepan detik cemas hampir setengah jam apabila dibelit dan digigit seekor ular sawa berhampiran rumah abangnya di Kampung Temai Tengah, Pekan semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.50 petang itu, kanak-kanak itu, Abdul Rafka Azka Abdullah, 10, bernasib baik apabila diselamatkan abangnya, Muhammad Nukman Muhammad Nizam, 26, dan bapa saudara, Ramzi Mohamad Amin, 57.
Bagaimanapun, kedua-dua mereka terpaksa mengambil masa kira-kira 30 minit untuk melepaskan mangsa daripada gigitan dan belitan reptilia berkenaan.
Muhammad Nukman berkata, ular sawa itu begitu ganas menyerang hingga dia dan bapa saudara mengalami kesukaran untuk melepaskan belitan sehingga terpaksa menggunakan lembing dan dua parang untuk membuka mulut ular sawa batik yang ketika itu menggigit betis kanan adiknya.
“Keadaan ketika itu agak cemas apabila badan adik juga dibelit hingga paras leher,” katanya kepada pemberita ketika ditemui hari ini.
Menurut Muhammad Nukman, ketika kejadian, adiknya baru tiba di rumahnya sebelum tiba-tiba dia diserang ular sawa berkenaan yang dipercayai berada dalam kawasan semak berhampiran.
“Haiwan itu mungkin bertindak menggigit kaki adik saya yang kebetulan berada berhampiran kerana berasa terancam.
“Selepas menggigit, ular sawa itu terus membelit badan adik hingga paras leher menyebabkan adik saya menangis meminta tolong,” katanya.
Walaupun geli dengan ular, Muhammad Nukman berkata, dia menguatkan semangat menyelamatkan adiknya dengan menarik ekor ular itu yang sedang membelit bahagian badan mangsa.
“Selepas berjaya dilepaskan, saya segera membawa adik ke Hospital Pekan untuk menerima rawatan,” katanya.


