Zara Qairina : Pakar patologi lapor polis terima ancaman netizen

PAKAR  patologi forensik, Dr Jessie Hiu, membuat laporan polis berhubung ancaman diterima daripada netizen dipercayai susulan keterangannya selama dua hari dalam prosiding inkues kematian pelajar Zara Qairina Mahathir.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, bagaimanapun tidak mengulas lanjut.

“Kami terima laporan daripada beliau petang semalam. Dalam laporan itu, Dr Jessie menyatakan beliau dimaklumkan oleh Pengarah Hospital Queen Elizabeth mengenai ancaman berkenaan,” katanya ringkas ketika dihubungi, lapor Berita Harian.

Dalam prosiding inkues itu, Dr Jessie yang juga Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE) menolak kemungkinan Allahyarhamah Zara Qairina ditolak atau diserang sehingga jatuh dari tingkat tiga asramanya, sebelum ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan itu pada awal pagi 16 Julai lalu.

Beliau yang menyambung keterangannya pada hari kedua inkues kematian arwah di Mahkamah Koroner di sini, Khamis lalu menolak kedua-dua andaian berkenaan selepas mengambil kira hasil pemeriksaan di lokasi Zara Qairina dijumpai tidak sedarkan diri.

Menjawab pertanyaan Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan II, Datuk Badiuszaman Ahmad selaku Pegawai Pengendali inkues kematian arwah, Dr Jessie berkata, ada besar kemungkinan Zara Qairina melompat atau menghayunkan diri dengan bergayut pada jeriji besi tergantung dari atas tembok koridor asrama itu.

Namun, beliau menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukan sama ada Zara Qairina melompat dengan kehendaknya sendiri.

Keterangannya mencetuskan kritikan, dengan ramai pengguna media sosial mempersoal hasil penemuannya serta kelayakannya, malah ada yang melemparkan kata-kata hinaan.

Peguam Hamid Ismail, yang mewakili ibu Zara Qairina, menggesa orang ramai menghormati Dr Jessie.

“Hormatilah Dr Jessie Hiu. Menghina dan memperlekehkan kepakarannya tidak memberi manfaat kepada sesiapa. Kami akan meneruskan pemeriksaan terhadap beliau minggu depan,” tulisnya di Facebook.

Dr Jessie, 58, yang telah berkhidmat di HQE sejak 1998, memiliki ijazah perubatan dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan ijazah sarjana dalam bidang patologi dari Universiti Malaya.

Beliau juga ahli Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Perubatan dan Sains Forensik Malaysia, serta Persatuan Undang-Undang, Perubatan dan Sains Indo-Pasifik.

Pakar tersebut menjalankan dan menyelia antara 100 hingga 150 bedah siasat setiap tahun serta memberi keterangan sebagai saksi pakar antara 10 hingga 15 kali setahun di Mahkamah Majistret, Sesyen dan Tinggi di Sabah serta Labuan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img