AGENSI Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menyita 26 tan konsainan ayam sejuk beku yang disyaki menggunakan sijil halal palsu ketika pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, baru-baru ini.
Tindakan sita itu diambil pada 8 Jun lalu selepas pegawai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan (MAQIS) AKPS menerima dokumen pengisytiharan import ayam sejuk beku terbabit yang dikemukakan oleh ejen bagi tujuan pemeriksaan dan mendapati terdapat keraguan terhadap sijil halal.
MAQIS AKPS merujuk perkara itu kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk pengesahan sebelum mendapati sijil halal yang dikemukakan adalah palsu.
Sehubungan itu, tindakan penahanan dan penyitaan dilaksanakan bagi membolehkan siasatan serta tindakan lanjut diambil oleh MAQIS Kedah.
Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Fauzi Mohd Yusof berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kewujudan sindiket yang terbabit dalam pengeluaran dan penggunaan sijil halal palsu bagi tujuan pengimportan produk makanan ke negara ini.
Beliau berkata, konsainan yang ditahan membabitkan 26,040 kilogram ayam sejuk beku dengan nilai anggaran sebanyak RM208,320 berdasarkan harga dan berat yang diisytiharkan dalam permit import.
“Selain itu, sebuah treler yang digunakan untuk membawa muatan itu turut ditahan dengan nilai anggaran RM25,000.
“Jumlah keseluruhan nilai sitaan dianggarkan sebanyak RM233,320,” katanya hari ini, lapor Harian Metro.






