MAYAT seorang lelaki tempatan yang sudah reput ditemukan dalam sebuah kereta di tempat letak kereta Perbadanan Melaka (MCorp) di MITC, Ayer Keroh tengah hari tadi.
Polis menerima maklumat mengenai penemuan mayat itu pada jam 1.48 petang mendakwa sebuah kereta jenis Nissan Almera yang diletakkan di kawasan itu mengeluarkan bau busuk dan dikerumuni lalat.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Polis Ayer Keroh bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, Pasukan Forensik D10 IPK Melaka serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia digerakkan ke lokasi kejadian.
“Hasil pemeriksaan mendapati lelaki berusia 34 tahun itu ditemukan meninggal dunia di tempat duduk pemandu dalam keadaan mayat telah reput.
“Turut ditemukan adalah sebuah bekas kaca yang mengandungi kesan pembakaran arang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Christopher memberitahu, mayat itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Ayer Keroh di talian 06-232 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran.


