Tok Hasan kemuka  tiga bukti UMNO bukan ‘melukut di tepi gantang’ dalam Kerajaan 

DATUK Seri Mohamad Hasan mala mini dengan nada tegas mengingatkan semua pihak supaya tidak menganggap UMNO ‘melukut di tepi’ gantang apabila membuat keputuan menyertai Kerajaan Perpaduan.

Sebaliknya, Timbalan Presiden UMNO itu menegaskan,  UMNO adalah penyemak imbang (check and balance) yang paling efektif dari dalam kerajaan.

‘’Walaupun kerusi kita tidak banyak, suara kita di Kabinet adalah suara penentu. Kita pastikan tiada dasar yang melampau, tiada dasar yang merugikan orang Melayu, dibiarkan begitu saja,’’ tegasnya.

Sehubungan itu dalam ucapan ketika merasmikan serentak Perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) mala mini, beliau membentangan  tiga bukti nyata sebagai contoh bagaimana UMNO bertindak sebagai “Perisai” Melayu dalam Kerajaan Perpaduan.

Bukti pertama kata beliau, menangguh Rang Undang-Undang Urban Renewal Act.

‘’Ada cadangan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA). Niat asalnya mungkin untuk pembangunan. Tetapi UMNO meneliti halusnya. Kita bimbang, jika akta ini diluluskan melulu, hak milik tanah orang Melayu di bandar-bandar akan terhakis diatas nama pembangunan komersial.

‘’ Kita tak mahu orang Melayu jadi “kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Maka, Menteri-menteri UMNO bertegas: tangguh dan semak semula. Kita mesti bela hak pemilik tanah asal dulu. Kita jaga tanah bangsa!,’’ tegasnya.

Mohamad berkata, bukti kedua UMNO menghalang pilihan raya kerajaan tempatan.

‘’Ada hasrat rakan komponen tertentu, yang beria-ia mahu laksanakan Pilihan Raya PBT. Kononnya atas nama demokrasi.  Tetapi UMNO melihat jauh ke depan. Kita tahu risiko polarisasi kaum di bandar.  Kita tahu jika ini dibuat, ketidakseimbangan kuasa akan berlaku, dan mudaratnya lebih besar dari manfaat.  UMNO bantah secara terus terang. Siapa yang akan halang jika bukan UMNO?,’’ katanya.

Beliau turut menyenaraikan bukti ketiga iaitu memperkasakan agenda Bumiputera.

‘’Ada suara sumbang kata agenda Melayu mati di bawah Kerajaan Perpaduan. Bohong! Selagi UMNO ada di situ, Agenda Ekonomi Bumiputera diperkasakan lagi.  Lihat Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) yang berjalan lancar. Lihat institusi keramat kita.

‘’MARA tidak disentuh, malah TEKUN dan PUNB terus dibela dan ditambah dana pelaburannya. Inilah UMNO yang sebenar.  Kita mungkin diam di media sosial, kita mungkin tidak bising menjerit di TikTok macam pembangkang,’’ katanya.

Sebalik kata beliau UMNO bekerja senyap-senyap, menjadi benteng yang memastikan kerajaan  tidak tergelincir dari landasan asal negara.

‘’Dan ini kita buktikan, dengan dasar ekonomi nyata yang digerakkan Menteri UMNO. Kita bukan janji bulan bintang, kita tunjuk hasil. Bukti, bukan sekadar janji .Pertama: Revolusi TVET Negara. Melalui Presiden kita di KKDW, kita angkat Dasar TVET Negara. Kita bawa masuk teknologi AI dan Robotik.

‘’Kita mahu anak Melayu lulusan TVET bergaji RM4,000, RM5,000. Kita beri mereka “Joran Emas” untuk memancing rezeki lumayan. Kedua: Suruhanjaya GIG (SEGiM). Lihat anak muda kita di jalanan pula membawa Grab dan Foodpanda.

‘’Atas desakan UMNO lah, Kerajaan merealisasikan Penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM). Kita bela nasib mereka. Kita pastikan mereka ada perlindungan PERKESO, ada simpanan hari tua. UMNO tidak biarkan anak muda jadi hamba ekonomi. Inilah “Jihad Ekonomi” kita untuk rakyat!,’’ tegasnya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img