KETUA Pemuda UMNO, Datuk Dr.Muhammad Akmal Saleh hari ini terus lantang apabila menegaskan, UMNO sedang berhadapan satu penyakit berbahaya iaitu sindrom penafian.
Katanya, beliau perlu menyatakan hakikat sebenar, yang mungkin pahit untuk ditelan.
‘’Kita sedang berdepan satu penyakit yang berbahaya dalam UMNO, iaitu “denial syndrome”. Kita masih berkata kita baik-baik sahaja, sedangkan jauh di lubuk hati kita tahu, kita tidak baik-baik.
‘’Kita masih berasa selamat kerana kita ada menteri, ada jawatan, ada prestasi pentadbiran yang boleh ditunjukkan. Kita yakinkan diri bahawa rakyat akan terus menyokong kerana kita dalam kerajaan. Sedangkan untuk dua PRU berturut-turut, kita telah tewas dan jumlah kerusi semakin mengecil,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Pemuda di Perhimpunan Pemuda UMNO 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Akmal berkata, ketika pemimpin UMNO merasakan parti itu masih okay, di peringkat akar umbi realitinya berbeza.
‘’Rakyat keliru. Penyokong setia bertanya ke mana arah perjuangan. Dan Pemuda mendengar kegelisahan itu setiap hari,’’ katanya.
Akmal menegaskan, UMNO telah lama dididik bahawa perjuangannya tidak dibina di atas kuasa, tetapi di atas kepercayaan rakyat.
‘’UMNO tidak lahir sebagai mesin untuk menang pilihanraya, tetapi sebagai gerakan yang memelihara agama, bangsa dan tanah air. Inilah yang menjadi pemula dan asbab UMNO ditubuhkan sewaktu menentang Malayan Union dahulu, ‘’ katanya.
Dengan suara yang tegas, Ketua Pemuda UMNO itu berkata, ‘’Benar, hari ini UMNO berada dalam kerajaan. Benar, UMNO mempunyai Menteri yang cemerlang dalam Kabinet. Tapi kita mungkin terlupa satu soalan yang paling jujur danmpaling perlu ditanya hari ini: adakah kepercayaan rakyat terhadap UMNO benar-benar semakin meningkat sepanjang kita berada di pundak kuasa ini?’’.
Sehubungan itu Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau itu menyatakan, UMNO sedang berdepan krisis kepercayaan dan ia adalah hakikat yang tidak boleh lagi disorok.
‘’Dan jika kita benar-benar mahu mengembalikan kepercayaan itu, maka kita mesti berani bercakap dalam bahasa rakyat, menyuarakan suara rakyat, walau sepahit mana pun kebenaran itu untuk ditelan,’’ katanya.
Hakikatnya, tegas beliau, menjadi kerajaan hari ini tidak menjamin kemenangan esok.
‘’Kkrisis kepercayaan ini terus dibiarkan, jika suara akar umbi terus dipendam, maka jangan kita terkejut sekiranya pada PRU akan datang, rakyat memilih untuk tidak lagi memberi kepercayaan kepada UMNO,’’ tegasnya.
Sambil mengingatkan iktibar daripada Parti Liberal Demokratik (LDP) di Jepun, Akmal berkata mereka tumbang selepas terlalu lama berkuasa, bangkit sebagai pembangkang berdisiplin, dan kembali memerintah dengan mandat rakyat.
‘’ Sebaliknya, kita juga harus belajar daripada sejarah Parti Revolusioner Institusional (PRI) di Mexico. Hampir tujuh dekad berkuasa, tetapi akhirnya mati kerana kehilangan jiwa perjuangan.
‘’Kisah-kisah ini mengajar kita satu perkara yang jelas – parti boleh jatuh kerana kehilangan kuasa, tetapi parti hanya akan mati apabila ia kehilangan prinsip,’’ katanya.
Beliau seterusnya mengingatkan, jika UMNO terus menafikan apa yang rakyat dan akar umbi rasakan, maka ia bukan sedang menyelamatkan UMNO tetapi sedang melambatkan kejatuhannya.
‘’Dan di sinilah Pemuda memilih satu jalan yang tidak mudah. Jalan yang tidak popular. Jalan yang dilihat sunyi. Tapi Pemuda percaya, ini jalan yang terbaik demi Parti. Kerana itu – ketika Konvensyen yang dibuat baru-baru ini, Pemuda UMNO mendesak agar UMNO menarik sokongan dari Kerajaan Perpaduan.
‘’Pun begitu, apabila keputusan parti memutuskan tidak menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan, Pemuda akur dan hormat. Namun, sejujurnya, kami berpegang kepada satu keyakinan yakni masih belum terlambat untuk menilai dan merenung semula keputusan ini secara matang,’’ katanya.
Atas semangat itulah, kata Akmal di pentas Perhimpunan Agung UMNO ini, Pemuda sekali lagi menyuarakan pandangan ini bukan untuk mencabar, tetapi untuk direnungkan dan dibahaskan secara lebih mendalam oleh para perwakilan.
‘’Bagi Pemuda UMNO, kuasa perwakilan di Perhimpunan Agung UMNO adalah kuasa yang paling tinggi. Dan setiap suara yang lahir daripada perbahasan yang jujur dan beradab, suara itulah yang akan menentukan hala tuju parti ke hadapan.
‘’Inilah hasrat Pemuda UMNO. Tidak ada yang lebih utama, melainkan maruah parti dijulang selayaknya. Dan hari ini, saya berani katakan kepada semua ahli UMNO – baik kepada akar umbi, mahupun kepada kepimpinan tertinggi – bahawasanya; Pemuda UMNO tidak berjuang untuk menjadi selesa hari ini, tetapi untuk memastikan perjuangan ini masih bernyawa pada hari esok,,’ katanya.


